Terkesan lihat petugas hospital guna plastik lindungi diri, Radzuan Radziwill jahit sendiri PPE

Pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill kini sedang bertungkus lumus menyiapkan pakaian perlindungan diri (PPE). Foto Facebook RADZUAN RADZIWILL

KETIKA ini kebanyakan hospital di seluruh negara kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) yang wajib digunakan oleh semua petugas barisan hadapan ketika mengendalikan kes melibatkan wabak Covid-19.

Paling menyedihkan, ada petugas hospital terpaksa menjahit sendiri PPE selain ada menggunakan plastik serta beg sampah sebagai perlindungan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: PPE panas, merimaskan! Bayangkan petugas kesihatan wajib pakai berbelas jam sehari...

Tersentuh melihat situasi itu, pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill tampil dengan projek amal menjahit pakaian petugas perubatan untuk kegunaan frontliner di hospital sejak dua minggu lalu.

Memulakan projek itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Radzuan memberitahu apa dilakukan adalah hanya secebis pengorbanan berbanding semua barisan hadapan yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa serta membahayakan diri mereka sendiri.

Sehingga kini, Radzuan telah menyiapkan 500 pasang PPE.

"Kebetulan saya mempunyai beberapa kenalan yang bertugas sebagai doktor dan mereka memberitahu setiap hari mereka memerlukan sekurang-kurangnya 200 ke 300 PPE setiap hari memandangkan ia tidak boleh digunakan semula.

"Daripada saya tidak berbuat apa-apa di rumah ketika tempoh PKP, rasanya lebih baik saya lakukan sesuatu dan dapat juga meringkan sedikit beban petugas barisan hadapan kita ini.

Sasar siap 2,000 pasangan PPE

"Menjahit memang kemahiran saya. Jadi apa salahnya saya menggunakan kemahiran yang ada untuk membantu meringankan beban pihak memerlukan," katanya.

Radzuan juga memberitahu rakannya di Hospital Serdang memberi contoh pakaian PPE serta membekalkan material non-woven untuk dijahit menjadi PPE.

Fabrik digunakan untuk membuat PPE juga mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, material itu tidak boleh dibeli sesuka hati memandangkan ia perlu mengikut standard ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Sebenarnya saya tidak menjahit keseluruhan PPE. Saya cuma membuat bahagian luar sahaja iaitu jubah luar, topi, tudung kepala serta dua jenis penutup kasut pelbagai saiz dari S hingga XL.

"Semua petugas perlu memakai sekurang-kurangnya tiga lapis pakaian keselamatan yang mengikut piawaian ketat kementerian dan ia tidak boleh dibuat sesuka hati," ujarnya.

Sehingga artikel ini ditulis, Radzuan memberitahu dia sudah berjaya menyiapkan lebih 500 helai PPE selain 50 pasang sehari sepanjang berada di rumah.

Selain jubah, Radzuan turut menghasilkan topi, tudung serta penutup kasut. 

Radzuan berharap dia dapat menghasilkan 1,000 ke 2,000 pasang PPE untuk diberikan kepada petugas memerlukan.

Seru rakan pereka fesyen bantu siapkan PPE

Sementara itu, Radzuan memberitahu dia bersyukur apabila beberapa kenalan pereka fesyennya seperti Salikan Sidek dan Kudin menghulurkan bantuan serta kemahiran mereka untuk turut serta dalam misinya itu.

Ekoran itu juga, Radzuan turut mengajak rakan-rakan pereka fesyen untuk sama-sama menyertainya membantu dalam membantu kerajaan pada situasi getir ketika ini.

Semua PPE yang telah siap dijemur terlebih dahulu. 

"Jika lebih ramai pereka fesyen yang turut serta, Insya Allah lebih banyak PPE dapat disiapkan memandangkan hospital memerlukan bekalan kelengkapan itu dalam jumlah yang banyak.

"Saya seru rakan-rakan industri fesyen untuk sama-sama berganding bahu kerana sumbangan kita ini memberi makna cukup besar," katanya.

Katanya, jika ada pereka fesyen yang berminat untuk bersama-sama menyiapkan PPE ini, beliau akan menyediakan contoh pakaian serta fabrik.

Artikel Berkaitan

Klik

Tak ada idea nak masak apa? Ini 5 program memasak menarik untuk anda tune in, no.2 paling kecoh!

LIMA program masakan terbaik yang boleh anda tonton secara streaming di Astro GO

Sedih tak dapat beraya di kampung? Jom hidupkan suasana raya, menu Syawal boleh dihidang di mana-mana... Pek Ceria Raya kan ada!

TAK dapat balik kampung! Barangkali begitulah yang luahan dan keluhan kebanyakan kita yang menyambut 1 Syawal kali ini.

Jom senyum bersama tersayang sambil menonton banyak pilihan prabayar sepanjang Ramadan, Syawal... hanya di NJOI Prepaid!

TIGA pilihan pek baharu bersama 16 saluran ala-carte untuk pelanggan NJOI sepanjang Syawal ini.

Semuanya di hujung jari anda... bawakan senyuman buat mereka yang kurang bernasib baik, itulah kempen Raya HLB

HONG Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB atau Bank) memperkenalkan kempen 'Jauh Di Mata, Dekat Di Hati' sebagai salah satu usaha membantu golongan kurang bernasib baik.

Artikel Lain