suria

Awas pengusaha PKS! Jangan terpedaya jika dihubungi ‘ejen’ CGC – “Penyamaran dilakukan dalam pelbagai bentuk”

CGC menafikan pihaknya pernah melantik mana-mana pihak ketiga untuk mewakili mereka dalam menawarkan produk dan perkhidmatan pembiayaan kepada pengusaha industri PKS.

RATA-RATA rakyat gembira selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan untuk meringankan beban gara-gara ramai yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Selepas mengumumkan Pakej Prihatin Rakyat pada 27 Mac, Isnin lalu perdana menteri mengumumkan pula Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM10 bilion yang dikhususkan buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan juga perniagaan kecil atau mikro.

Namun dalam pada gembira menyambut perkhabaran baik itu, semua pihak diingatkan agar berwaspada dengan sindiket penipuan yang lincah menjerat mangsa, terutamanya pengusaha PKS.

ARTIKEL BERKAITAN: PM tak lupa bisnes salon, restoran mi kolok dan perusahaan perabot... umum RM10 bilion tambahan Pakej Prihatin untuk PKS

ARTIKEL BERKAITAN: Anak pengusaha Mi Kolok Haji Salleh terharu restoran bapa dapat perhatian PM

Justeru, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) sebagai peneraju penyedia jaminan kredit di negara ini untuk membantu PKS tampil menafikan pihaknya pernah melantik mana-mana pihak ketiga untuk mewakili mereka dalam menawarkan produk dan perkhidmatan pembiayaan kepada pengusaha industri itu.

Dalam satu kenyataan, CGC mengingatkan orang ramai supaya terus menghubungi pihaknya jika ada yang menyamar dan bertindak mewakili CGC dalam menawarkan produk dan perkhidmatannya.

"Penyamaran mungkin dilakukan dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah melalui panggilan telefon oleh individu yang mendakwa mereka adalah wakil dari CGC.

"Selain itu, terdapat juga iklan di laman web tidak rasmi, atau platform media sosial yang direka khas untuk mengelirukan orang ramai," katanya.

Tambahnya, orang ramai terutamanya pengusaha PKS yang mempunyai sebarang keraguan digalakkan untuk memaklumkannya kepada CGC.

"Sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan CGC melalui e-mel di [email protected] atau hubungi 03-7880 0088 untuk sebarang bantuan.

"CGC mengingatkan semua agar lebih berhati-hati dan menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat serta perkhidmatan yang diterima bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab, terutamanya ketika kegawatan seperti sekarang," katanya lagi.

CGC, PKS, sindiket, penyamaran

Artikel Lain