suria

PM tak lupa bisnes salon, restoran mi kolok dan perusahaan perabot... umum RM10 bilion tambahan Pakej Prihatin untuk PKS

Perusahaan kecil dan sederhana tidak dilupakan kerajaan ketika pandemik Covid-19 melanda.

JIKA sebelum ini nama Makcik Kiah trending di laman sosial gara-gara Pakej Prihatin Rakyat yang diumumkan pada 27 Mac lalu, kali ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan tiga lagi contoh yang begitu dekat di hati rakyat dalam pengumuman pakej Prihatin Tambahan.

Pakej bernilai RM10 bilion itu merupakan lanjutan kepada bantuan yang diumum pada 27 Mac lalu, namun kali ini ia dikhususkan buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan juga perniagaan kecil atau mikro.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum Pakej Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion, ini bantuan wang tunai yang bakal diterima rakyat

Contoh PKS yang disebutkan adalah Lee Beauty Saloon, Restoran Mi Kolok Haji Salleh dan Syarikat Surjit Kaur Sdn. Bhd. 

Bagi Lee Beauty Saloon misalnya, pengusaha layak menerima manfaat subsidi upah tiga bulan dan geran mikro berjumlah RM10,200 dengan adanya pakej tersebut.

"Saloon ini mempunyai dua orang pekerja tempatan yang semuanya bergaji kurang RM4,000. Pemilik saloon ini, Madam Lee ingin merancakkan semula perniagaannya selepas tamat tempoh PKP.

"Dengan pelaksanaan semua bantuan yang telah diumumkan Kerajaan, Madam Lee boleh mendapat manfaat subsidi upah tiga bulan berjumlah RM7,200 dan geran mikro sebanyak RM3,000. Kesuluruhan manfaat yang diterima oleh Madam Lee ialah sebanyak RM10,200," ujar Muhyiddin.

Bagi Restoran Mi Kolok Haji Salleh pula, pengusaha turut berpeluang menerima pelbagai manfaat termasuklah pinjaman kredit mikro BSN sebanyak RM50,000.

"Katakan restoran ini mempunyai lima orang pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah dan dua orang pekerja asing.

"Untuk menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, pemilik restoran ini boleh mendapatkan pinjaman kredit mikro BSN sebanyak RM50,000 dan subsidi upah untuk lima orang pekerja berjumlah RM18,000," ujarnya,

Malah, pemilik restoran ini juga boleh menikmati penjimatan daripada pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, tangguhan cukai berjumlah RM5,200, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM2,300 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM300.

Jadi, keseluruhan manfaat yang boleh diterima, tidak termasuk pinjaman kredit mikro, ialah sebanyak RM34,200 untuk tempoh 3 bulan.

Contoh terakhir ialah Syarikat Surjit Kaur Sdn Bhd yang mana ia merupakan syarikat bersaiz kecil dalam sektor perkilangan perabot dengan 15 orang pekerja.

"Lima orang adalah pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah, 10 orang pekerja asing dan selebihnya pekerja tempatan bergaji lebih RM4,000.

"Bagi memastikan syarikat dapat menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, Syarikat Surjit Kaur boleh mendapatkan pinjaman Special Relief Facility (SRF) sebanyak RM500,000 dan subsidi upah berjumlah RM18,000.

"Selain itu, syarikat juga boleh menikmati penjimatan melalui pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM4,600, tangguhan cukai PKP Mikro sebanyak RM32,700 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM100," ujar Muhyiddin.

Keseluruhan manfaat yang diperolehi oleh syarikat ini, tidak termasuk pinjaman SRF, ialah sebanyak RM63,800.

Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikut merupakan perincian penuh pakej Prihatin Tambahan:

Pertama, peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu akan dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan  menerima bantuan subsidi upah seperti berikut:

− Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.

− Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.

Akhir sekali, bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Melalui penambahbaikan ini, syarikatsyarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan.

− Bantuan ini adalah untuk selama 3 bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan PERKESO. Justeru, kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

− Bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurangkurangnya untuk tempoh 6 bulan, iaitu dalam tempoh 3 bulan semasa menerima subsidi upah dan 3 bulan selepas itu.

Kedua, mewujudkan Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM2.1 bilion bagi semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan. Kerajaan akan menyediakan Geran Khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara. PKS mikro perlulah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini. Kerajaan akan memperolehi senarai PKS mikro yang layak daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Selain itu, Kerajaan juga menyeru organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang menyediakan kemudahan kredit untuk memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama 6 bulan bermula April 2020, sepertimana yang telah diberikan oleh pihak bank. Saya berharap organisasi pemberi pinjam wang turut bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan dan bersama-sama membantu meringankan beban kewangan mereka.

Di samping meringankan beban kewangan PKS, Kerajaan juga akan mengambil beberapa inisiatif untuk memudahkan PKS mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan yang telah diumumkan. Antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah:

● Pertama, memansuhkan kadar faedah 2% kepada 0% untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional. Skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro ini juga dipanjangkan kepada TEKUN Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada kadar faedah 0%. Untuk tujuan ini, dana sebanyak RM200 juta akan disediakan. Pemohon hanya boleh memilih salah satu daripada skim ini bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan ini.

● Kedua, mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan Kerajaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat Kerajaan Persekutuan seperti MARA, PETRONAS, PNB, PLUS dan UDA serta beberapa syarikat milik Kerajaan Negeri yang telah bersetuju untuk memberi diskaun atau tidak mengenakan sewaan ke atas premis mereka khusus untuk penyewa PKS. Atas prinsip perkongsian bebanan, saya menggesa pemilik premis swasta untuk turut memberikan kemudahan yang sama dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya semasa waktu PKP dan 3 bulan selepas PKP berakhir. Pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa tersebut bagi bulan April 2020 hingga Jun 2020. Potongan cukai tambahan ini diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu hendaklah sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa asal bagi tempoh tersebut.

Mi Kolok.

● Ketiga, membenarkan pengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25% kepada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga 31 Disember 2020. Pengurangan bayaran levi ini tidak terpakai kepada pembantu rumah. Saya juga faham kesukaran yang dihadapi oleh sebahagian majikan untuk mengekalkan pekerja dalam keadaan yang agak terdesak pada waktu ini. Dalam hal ini, Kerajaan bersetuju untuk menggalakkan perundingan diadakan antara majikan dan pekerja mengenai terma pekerjaan, termasuk pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji dalam tempoh PKP. 

Majikan dan pekerja boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapatkan nasihat berkaitan sebarang permasalahan untuk penyelesaian. Sebarang perundingan hendaklah tertakluk kepada undang-undang mengenai pekerjaan yang berkuatkuasa di negara ini. Yang penting, hak dan kebajikan kedua-dua pihak mestilah sentiasa terbela. Saya juga tahu kesukaran yang dihadapi oleh pihak syarikat untuk mengemukakan dokumen berkanun bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh PKP ini. Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan moratorium secara automatik selama 30 hari daripada tarikh terakhir PKP untuk pihak syarikat mengemukakan dokumen berkanun kepada SSM. Selain itu, tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat juga dilanjutkan selama 3 bulan daripada tarikh terakhir PKP. Kelonggaran ini diberikan kepada syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 30 September hingga 31 Disember 2019. Walau bagaimanapun, syarikat perlu memohon kelonggaran ini daripada SSM dan tiada fi penghantaran lewat akan dikenakan atas permohonan berkenaan.

PKS, peniaga kecil, bantuan, pakej, tambahan

Artikel Lain