suria

10 tanda anda patut berhenti kerja walau belum ada tawaran baharu

Tekanan emosi setiap kali menjelang hari bekerja antara faktor seseorang perlu prtimbang untuk berhenti kerja. -Gambar hiasan AI

DALAM dunia pekerjaan, keputusan untuk berhenti kerja adalah langkah terbesar bagi setiap individu terutama sekali bagi mereka yang mempunyai komitmen.

Jurulatih kerjaya, Farid Affy berkongsi beberapa tanda yang menunjukkan sudah tiba masanya untuk seseorang itu meninggalkan kerja, walaupun belum ada tawaran baharu. 

Katanya, panduan ini penting untuk menjaga kesihatan mental, perkembangan kerjaya dan kesejahteraan diri.

1. Tekanan emosi setiap kali menjelang hari bekerja

Sekiranya setiap malam Ahad disertai perasaan gelisah, sukar tidur dan tekanan emosi, ia bukan lagi sesuatu yang normal. 

Tekanan untuk tempoh singkat masih boleh diterima, namun jika berlarutan selama berbulan-bulan, ia memberi kesan buruk kepada kesihatan mental.

2. Tiada perkembangan diri

Apabila seseorang tidak lagi mempelajari perkara baharu, tidak diberi cabaran dan tiada perkembangan kerjaya, ia petanda diri sedang berada di zon statik.

Persoalan yang wajar ditanya ialah adakah nilai diri saya meningkat berbanding tahun lalu?

Majikan yang suka memarahi secara berlebihan antara faktor pekerja tertekan. -Gambar hiasan AIMajikan yang suka memarahi secara berlebihan antara faktor pekerja tertekan. -Gambar hiasan AI

3. Kesihatan semakin merosot

Tekanan berpanjangan, keletihan melampau, gangguan tidur dan sakit kepala merupakan isyarat tubuh bahawa ia tidak lagi mampu menampung beban kerja. 

Tiada pekerjaan yang layak dipertahankan jika mengorbankan kesihatan.

4. Gaji tidak setimpal dengan sumbangan

Sekiranya prestasi telah dibuktikan namun alasan yang diterima hanya tunggu tahun hadapan, ia menunjukkan usaha tidak dihargai.

Dalam situasi ini, kesabaran sering kali bertukar menjadi eksploitasi.

5. Budaya kerja toksik dianggap perkara biasa

Persekitaran yang dipenuhi politik pejabat, pilih kasih, tiada sempadan kerja dan idea yang diketepikan akan memberi kesan negatif jangka panjang.

Budaya toksik jarang berubah jika pengurusan tidak mengambil tindakan.

6. Nilai peribadi tidak lagi seiring dengan pekerjaan

Apabila pekerjaan tidak lagi memberi kepuasan dan bercanggah dengan nilai diri, seseorang akan sukar untuk berasa gembira dan bermotivasi dalam jangka panjang.

7. Tiada keseimbangan kerja dan kehidupan

Bekerja lebih 60 jam seminggu, menerima mesej kerja di luar waktu pejabat dan berasa bersalah untuk bercuti merupakan tanda burnout. 

Budaya kerja melampau bukan lambang dedikasi, tetapi satu bentuk keletihan kronik.

8. Pengurusan menjadi punca utama tekanan

Majikan yang suka mengawal secara berlebihan, memarahi pekerja di hadapan orang lain, tidak memberi sokongan atau peluang perkembangan adalah antara sebab utama seseorang meninggalkan pekerjaan.

9. Sentiasa dijanjikan peluang tetapi tidak pernah direalisasikan

Walaupun prestasi konsisten, pekerja masih dipinggirkan dan tiada laluan kerjaya yang jelas. 

Situasi ini menunjukkan tenaga anda diperlukan, tetapi masa depan anda tidak menjadi keutamaan.

10. Syarikat berada dalam keadaan tidak stabil

Tanda-tanda seperti pemberhentian pekerja, kelewatan gaji, pembatalan projek dan pertukaran pengurusan yang kerap menunjukkan risiko besar jika terus bertahan.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara perlu dipertimbangkan untuk meletakkan jawatan walaupun belum ada pekerjaan baharu.

Antaranya:

- Kesihatan mental atau fizikal semakin terjejas

- Persekitaran kerja bersifat menekan atau tidak beretika

- Kekal bekerja akan merosakkan masa depan kerjaya

- Mempunyai simpanan kewangan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan

"Mengambil masa rehat seketika tidak akan merosakkan resume. 

"Namun, membiarkan diri berada dalam keadaan burnout berpanjangan boleh memberi kesan buruk yang lebih besar," katanya.

Artikel Lain