suria

[V] “Kita raya tanpa ayah” - Farah Fakhira selamat bersalin bayi perempuan, mentua ganti arwah suami iqamatkan cucu

Bapa mentua Farah Fakhira mengiqamatkan cucunya yang diberi nama Farah Hana Khawla.

USAHAWAN dan pempengaruh media sosial, Farah Fakhira Fakhrulruzi berkongsi detik penuh emosi selepas dia selamat melahirkan cahaya mata sulungnya pada Rabu.

Menerusi perkongsian di Instagram, ibu muda berusia 28 tahun itu mengimbau kembali saat dia berbicara dengan bayi dalam kandungannya selepas kehilangan suami, Allahyarham Zaidul Ariff Abdul Malek pada Oktober tahun lalu.

"Baby, raya ni kita tak ada ayah tau. Temankan saya dalam perut baik-baik okay," imbau Farah Fakhira.

Menurutnya, bayi perempuan tersebut dijangka lahir pada penghujung Mac atau awal bulan hadapan, namun kelahiran berlaku lebih awal daripada jangkaan.

"Baby ni masya-Allah... sejak Zaidul meninggal, tak ada satu ragam pun. Selalu je faham... seolah-olah tak nak kita sedih sendirian.

"Allah, baru aku faham sakit melahirkan bukan sekadar luka, tapi bukti cinta yang tak terungkap," katanya yang memiliki lebih 1.3 juta pengikut di Instagram.

Farah Fakhira berkongsi detik terakhir suami menemaninya mengimbas bayi sebelum meninggal dunia.

Farah Fakhira berkongsi detik terakhir suami menemaninya mengimbas bayi sebelum meninggal dunia. 

Farah turut meluahkan rasa syukur apabila berjaya melahirkan anak secara normal tanpa sebarang komplikasi, selain menyifatkan pengalaman bersalin sebagai bukti kasih sayang seorang ibu yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

“Walaupun awak (arwah suami) hanya sempat menjaga dia lima bulan dalam perut ini, saya berjaya teruskan hingga ke akhir tanpa awak. 

"Dia seperti awak, seolah-olah memahami dan tidak menyusahkan saya,” katanya.

Perkongsian [Tonton Video] itu juga memperlihatkan bapa mentua menggantikan tempat arwah suaminya untuk mengiqamatkan bayi selepas Farah melahirkan anak.

"Waktu ni ayah menangis sebak sebab teringat dekat Zaidul. Terima kasih ayah, dari Zaidul meninggal sampai sekarang ayah selalu ada.

"Walaupun ayah mentua tapi Farah rasa Allah pinjamkan kasih sayang ni macam darah daging sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Farah turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan serta menghulurkan bantuan sepanjang tempoh sukar yang dilaluinya.

Allahyarham Zaidul Ariff meninggal dunia pada 31 Oktober 2025 selepas pengsan ketika bermain badminton.

Menurut Farah, sebelum meninggal dunia suaminya seharian menemaninya mengimbas kandungan yang ketika itu berusia lima bulan. 

Artikel Lain