RAKYAT berpeluang menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan nanti.Mengumumkannya pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, potongan harga tersebut adalah sebagai satu inisiatif bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman. "Inisiatif ini melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol."Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai pukul 12.01 tengah malam pada 18 Mac (Rabu) hingga pukul 11.59 malam 19 Mac (Khamis)," jelas beliau menerusi kenyataan kepada media.Diskaun berkenaan melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA).Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut mengumumkan pelepasan kebankrapan secara fast track kepada 4,000 individu yang diisytihar muflis.Perkara tersebut dilakukan menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia."Sekitar 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada belenggu kebankrapan."Semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama," tegas beliau.