SEORANG lelaki cedera parah apabila tangan kirinya ditetak dengan pisau pemotong ikan oleh rakan sekerjanya di sebuah restoran di Kubota Sentral di Tawau, Sabah pada Isnin.Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku selepas mangsa menegur suspek bahawa nasi belum dimasak. "Suspek tiba-tiba menjadi emosi dan bertindak luar kawalan lalu menetak bahagian tangan kiri mangsa menggunakan pisau pemotong ikan."Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan laporan polis turut dibuat berhubung kejadian tersebut," katanya menerusi kenyataan.Susulan insiden itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau mengesan suspek yang berusia 21 tahun."Suspek yang juga pekerja di restoran tersebut berjaya ditahan di sekitar kawasan tepi Jalan Habib Hussein."Turut dirampas pisau berukuran 33 sentimeter dan plastik putih dipercayai ada kaitan dengan kes yang disiasat," katanya.Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.