suria

Kenangan potong sayur kuah lodeh masih segar, isteri pendaki maut di Gunung Liang titip rasa rindu menjelang Aidilfitri

Nur Faratin berkongsi gambar kenangan terakhir beraya bersama suaminya. -Gambar Faceboook Aten Faratin

ISTERI kepada Allahyarham Mustaqqeem Mansor, pendaki yang meninggal dunia berseorangan di Gunung Liang, Perak pada Oktober lepas meluahkan rasa rindu terhadap suaminya ketika umat Islam mula bersedia menyambut Aidilfitri.

Menerusi perkongsian di media sosial, Nur Faratin Mohd Othman berkata suasana menjelang raya tahun ini terasa sangat berbeza tanpa kehadiran suaminya di sisi.

Menurutnya, sebelum ini setiap kali tiba musim perayaan, mereka akan sama-sama membuat persiapan di rumah termasuk menyediakan menu raya kegemaran arwah seperti kuah lodeh, ketupat dan rendang daging.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut di Pulau Pinang. -Foto BernamaJenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut di Pulau Pinang. -Foto Bernama

"Abang selalu kata tak kisah apa pun yang sayang masak, tapi akhirnya hidangan itu jugalah yang abang paling tunggu. Abang selalu tolong sayang kat dapur. 

"Potong daging, sayur untuk kuah lodeh walaupun kadang potong tak berapa cantik, tapi tetap buat sayang senyum tengok kesungguhan abang. Dapur yang kecil tu terasa penuh dengan gelak tawa kita. Sederhana, tapi bahagia," katanya.

Imbasnya lagi, selepas selesai di dapur, dia akan menggosok baju raya mereka manakala suaminya pula gemar mengusik dan bertanya pakaian mana yang akan dipakai pada pagi raya.

"Malam sebelum raya, kita kemas rumah sama-sama… susun langsir, lap meja, sapu lantai. Penat, tapi hati rasa tenang sebab semuanya kita buat bersama.

"Tapi sekarang semua itu hanya tinggal kenangan. Rumah ini, dapur ini masih sama, persiapan raya tetap ada cuma abang yang sudah tiada di sisi. Sunyi yang dulu tak pernah wujud, kini terasa di setiap sudut rumah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Mustaqqeem pertimbang ambil tindakan undang-undang - “Tak puas hati pasal apa tinggalkan dia”

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rakaman bapa saudara cuci barangan arwah Mustaqqeem undang sebak... Keadaan kasut diikat kain putih cetus tanda tanya

Perkongsian Nur Faratin itu turut menggambarkan betapa kenangan kecil yang pernah dilalui bersama arwah suami kini menjadi memori yang amat berharga buatnya.

"Sayang nak abang tahu setiap kenangan kita masih hidup dalam hati sayang. Walaupun sudah jauh di sana, kasih sayang dan rindu tak pernah pergi. Al-Fatihah buat abang," katanya.

Untuk rekod, Mustaqqeem, 34, bersama 10 lagi pendaki memulakan pendakian mereka pada 10 Oktober 2025 di Bukit Fraser, Pahang dan dijadual menamatkan ekspedisi di Gunung Liang, Perak.

Allahyarham kali terakhir dilihat berada di puncak Gunung Liang Barat bersama seorang lagi individu pada pukul 10.30 malam, 14 Oktober.

Mustaqqeem dilaporkan mengalami kecederaan di kaki dan dilihat berjalan dengan perlahan sebelum dilaporkan hilang.

Bedah siasat mendapati Allahyarham meninggal dunia akibat hipotermia.

Artikel Lain