suria

Suri rumah dicekik, ditampar dan ditumbuk selepas minta suami beli ayam gepuk

Suami tidak sepatutnya melakukan kekerasan fizikal terhadap isteri. -Gambar hiasan

SEORANG wanita mendakwa dicekik, ditampar dan diugut dengan pisau oleh suaminya dalam satu kes keganasan rumah tangga selepas dia meminta dibelikan hidangan ayam gepuk.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata polis menerima laporan daripada seorang suri rumah berusia 33 tahun pada 11 Mac lalu.

“Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mangsa meminta suaminya membeli ayam gepuk kerana dia teringin.

“Bagaimanapun, permintaan itu didakwa mencetuskan pertengkaran apabila suspek memarahi dan menghina mangsa, malah menyuruh dia memasaknya sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah flat di Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu, suspek kemudiannya didakwa mencekik, menampar serta menumbuk kepala mangsa.

“Suspek juga dilaporkan mengambil sebilah pisau dapur dan meletakkannya pada leher mangsa ketika pertengkaran berlaku,” katanya.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kanan leher dan mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Cheras sebelum membuat laporan polis.

Mohd Rosdi berkata kes ini sedang disiasat dan polis merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Siasatan Jenayah Daerah untuk tindakan lanjut.

Artikel Lain