suria

Dicekik, diseret serta ditendang berkali-kali! Pengasas kosmetik Kelantan dakwa anak dikasari tunang, batal kahwin 10 Syawal

HASRAT seorang wanita untuk bergelar isteri tidak kesampaian apabila dia didakwa menjadi mangsa kekerasan tunangnya sendiri dalam satu kejadian pada tiga Ramadan lalu.

Perkara itu dimaklumkan ibu mangsa, Fara Sharina Zamari, 37 yang juga seorang pengasas kosmetik terkenal di Kelantan.

Fara melahirkan rasa kecewa selepas anak perempuan tunggalnya yang berusia 19 tahun mengalami trauma akibat kecederaan seluruh badan.

"Anak saya dicekik, diseret serta ditendang berkali-kali oleh lelaki tersebut yang juga merupakan seorang pempengaruh," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan dibuat pada Ahad.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan pada 24 Februari.

Menurutnya, dia terlebih dahulu membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sebelum laporan polis dibuat.

Pada masa sama, pertunangan anak sulung daripada empat adik beradik yang berlangsung pada Januari lalu turut diputuskan serta-merta.

Fara memberitahu, perkara yang paling mengejutkan adalah anaknya bukan mangsa pertama lelaki berkenaan. 

Dimaklumkan, sebelum ini seorang wanita lain pernah didakwa menjadi mangsa kekerasan lelaki berusia 20 tahun itu.

Menurut Fara, dia tidak menyangka bekas tunang anaknya yang sebelum ini dilihat bersikap baik serta romantik sebenarnya seorang yang panas baran.

"Saya telah membuat laporan polis dan lelaki terbabit telah direman namun dilepaskan atas ikat jamin dan laporan kedua dibuat pada hari ini (Ahad) kerana tidak mahu anak saya diganggu.

"Sebagai seorang ibu, saya berharap kes ini dipandang serius kerana ia bukan sahaja meninggalkan kesan kecederaan kepada anak tetapi trauma," katanya.

Katanya, anaknya yang dijadualkan berkahwin pada 10 Syawal ini terpaksa membatalkan perancangan tersebut susulan kejadian berkenaan.

Artikel Lain