suria

Bapa Zayn Rayyan rayu dana tampung kos guaman kes mahkamah, perlukan RM65,000

SELEPAS sekian lama menyepikan diri daripada media sosial, bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Zaim Ikhwan Zahari tampil dengan hantaran memohon bantuan kewangan bagi menampung kos guaman kesnya di Mahkamah Tinggi. 

Ia susulan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, tiga tahun lepas yang menelan kos mencecah ratusan ribu ringgit. 

Menurut Zaim, sejak pertuduhan di Mahkamah Seksyen, dia telah mengeluarkan belanja sekitar RM200,000 untuk kegunaan di mahkamah.

Malah katanya, dia memerlukan lebih kurang RM65,000 lagi untuk menampung kos di Mahkamah Tinggi. 

Lelaki berusia 31 tahun ini turut menyatakan jumlah berkenaan adalah sangat tinggi dan di luar kemampuannya.

“Saya Zaim Ikhwan Zahari dengan rendah hati ingin merayu dan memohon jasa baik serta keperihatinan daripada saudara mara, rakan-rakan dan orang ramai untuk membantu saya dan isteri, Ismanira Abdul Manaf dalam menampung kos di Mahkamah Tinggi.

“Saya merayu orang ramai untuk membantu menghulurkan sumbangan demi mendapatkan keadilan buat seluruh keluarga kami termasuk arwah,” katanya. 

Zaim Ikhwan turut memberikan nombor akaunnya dalam hantaran yang dibuat namun menutup ruangan komen.

Untuk rekod, Zaim Ikhwan kekal bebas daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, tiga tahun lepas.

Manakala isterinya, Ismanira dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan yang sama.

Selain hukuman penjara, mahkamah juga memerintahkan Ismanira, 31, dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan melaksanakan 120 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Sabitan kesalahan itu dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Allahyarham Zayn Rayyan, yang menghidap autisme, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023, sebelum mayatnya ditemukan di sebuah anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, pada keesokan harinya.

Bedah siasat mengesahkan bahawa dia meninggal dunia akibat jerutan.

Ismanira didakwa atas kesalahan pengabaian pada Jun 2024, manakala suaminya, Zaim Ikhwan, kemudiannya dibebaskan selepas mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Artikel Lain