suria

Filem SARAnghae: Bermulanya Inspirasi singkap realiti kehidupan… Lakonan Nafiz Muaz beri kesan emosi

Nafis bawa watak Adam dalam SARAnghae: Bermulanya Inspirasi.

SEBUAH filem pendek bertajuk SARAnghae: Bermulanya Inspirasi tampil dengan jalan cerita yang dekat dengan realiti apabila mengangkat kisah kehidupan, pengorbanan dan cabaran dalam membina masa depan.

Naskhah arahan Hafiz Shafie itu merupakan prekuel kepada filem pendek SARAnghae: I Love You yang pernah mencipta kejayaan apabila memenangi kategori Filem Pendek Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) pada tahun 2024.

Karya terbaharu ini merungkai latar belakang watak Adam, sekali gus melengkapkan penceritaan terdahulu. 

Nafis berjaya membawakan wataknya dengan penuh emosi.

Walaupun dilancarkan dalam suasana Syawal, jalan cerita lebih memfokuskan kepada realiti kehidupan serta cabaran yang perlu ditempuhi sebelum seseorang mencapai kejayaan.

Watak Adam yang dilakonkan Nafiz Muaz dipaparkan melalui fasa awal kehidupannya selepas kehilangan ibu, Sara, sebelum dibesarkan oleh Pak Long lakonan Monrasli Aswad. 

Kehadiran Vanida Imran sebagai Sara menerusi imbas kembali serta suara latar menambahkan elemen emosi, terutama dalam menggambarkan pesanan seorang ibu yang menjadi kekuatan kepada perjalanan hidup anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nafiz Muaz tak cukup makan, sanggup kurang tidur sebab 'Terima Kasih Ibu'

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali tertangguh, Nafiz Muaz akhirnya sah bergelar suami ahli perniagaan

Hubungan antara Adam dan Pak Long menjadi tunjang utama penceritaan apabila watak penjaga itu digambarkan sebagai individu yang tegas namun penuh kasih sayang dalam membentuk jati diri seorang anak muda. 

Nilai integriti, disiplin dan semangat untuk berdikari diketengahkan sebagai asas yang membentuk Adam untuk bangkit daripada kesusahan hidup.

Perjalanan hidup Adam mencapai titik perubahan apabila satu peristiwa di hospital membuka matanya tentang tanggungjawab dan masa depan. 

SARAnghae: Bermulanya Inspirasi beri semangat kepada usahawan baharu.

Dengan dorongan Pak Long, dia mula berusaha mengembangkan perniagaan keluarga dan berani melangkah lebih jauh walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Filem pendek yang diterbitkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dengan kerjasama Shahrul Redzuan Zulkifli selaku penerbit eksekutif SARAnghae: Bermulanya Inspirasi sudah boleh ditonton di YouTube.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain