suria

Dua kali tertangguh, Nafiz Muaz akhirnya sah bergelar suami ahli perniagaan

Nafiz akhirnya sah bergelar suami kepada Diyana selepas dua kali tunda majlis pernikahan.

SELEPAS dua kali terpaksa menundakan tarikh pernikahan akhirnya pelakon Nafiz Muaz sah bergelar suami kepada ahli perniagaan iaitu Diyana Omar, 29, pada kira-kira 11.33 pagi, Sabtu.

Pelakon berusia 22 tahun ini berkata perancangan awal mereka sepatutnya bernikah pada Ogos lalu dan ditunda ke Disember namun tetap tidak dapat diadakan berikutan pandemik Covid-19 serta beberapa faktor lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Melampau! Nafiz Muaz beri amaran terakhir, minta individu tak dikenali berhenti hantar foto lucah - “Kau ingat aku ni apa... tiada maruah diri?”

Nafiz dan isteri bagaimanapun nekad mengambil keputusan mengadakan juga majlis tersebut dan memilih tarikh 2 Januari sebagai hari bahagia mereka.



Pasangan itu dinikahkan oleh bapa kepada pengantin perempuan.

"Perancangan awal kami sepatutnya sejak Ogos lalu tapi ditangguhkan ke Disember gara-gara Covid-19, namun ada kekangan lain pula.

"Akhirnya saya dan isteri tidak boleh berkompromi lagi dalam hal ini dan nekad memilih tanggal 2 Januari 2020 sebagai saksi hari bersejarah.

"Biarpun berlangsung dalam suasana norma baharu selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kami akur dengan ujian yang melanda dunia ini," katanya.

Dengan sekali lafaz, pasangan yang saling mengenali sejak tiga tahun lalu itu sah bergelar suami isteri dalam satu majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka tanah air.

Semoga Allah mempermudahkan rencana hidup baru kami ini.

NAFIZ MUAZ

PELAKON

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Omar Ahmad dengan disaksikan kira-kira 100 orang tetamu.

Aktor yang digilap bakat menerusi Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016 itu menyerahkan wang hantaran berjumlah RM30,000, mas kahwin RM1001 dan lima dulang berbalas tujuh daripada pengantin perempuan.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis perkahwinan mereka.

Dalam pada itu, pelakon drama Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis ini memberitahu dia memilih Diyana kerana sangat memahami dirinya dan terbuka berkongsi banyak perkara.



Nafiz syukur majlis pernikahannya berjalan dengan lancar.

"Lebih utama dia sangat memahami saya. Kami masing masing terbuka dalam banyak perkara. Insya-Allah kami akan sama sama melayari bahtera perkahwinan ini dengan penuh tanggungjawab.

"Semoga Allah mempermudahkan rencana hidup baru kami ini," ujarnya.

Menurut pemilik nama Muhd Nafiz Muaz Mat Nasir ini, mereka akan diraikan dalam satu majlis resepsi pada 21 Januari manakala majlis bertandang akan diadakan di Sungai Petani pada Februari depan.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain