suria

Abby Fana jelaskan bukan berhenti tapi kontrak tak disambung - “14 tahun lalu seseorang perlu kosongkan tempat untuk saya... itulah lumrah kehidupan”

Abby Fana ucap terima kasih atas sokongan terhadapnya.

SELAMA 14 tahun berkhidmat sebagai penyampai radio di Sinar FM, Abby Fana akhirnya mengundur diri dan Khamis lalu iaitu 31 Disember merupakan hari terakhirnya bertugas.

Abby atau lebih mesra menggelarkan dirinya sebagai Kak Bed mengakui dia menerima banyak persoalan daripada ramai pihak yang ingin mengetahui punca dia mengambil keputusan untuk berhenti.

ARTIKEL BERKAITAN: Abby Fana Bukan 'Dibuang' TV3 Kerana Bertudung

Bagaimanapun, Abby menjelaskan tiada istilah dia berhenti atau bersara namun ia disebabkan kontraknya tidak disambung bagi memberi laluan kepada penyampai radio yang lebih segar dan baharu.



Abby tampil menjelaskan perkara itu di laman sosial miliknya.

"Ramai yang tanya kenapa saya berhenti, saya jawab secara ringkas... saya tidak berhenti dan tidak bersara. Cuma kontrak saya tidak disambung dan saya tak boleh jawab bagi pihak pengurusan.

"Cuma, saya rasa dah tiba masa untuk saya beri laluan kepada penyampai yang lebih fresh, dengan adanya yang baru. Sebab 14 tahun dahulu masa saya bermula di Sinar, seseorang perlu kosongkan tempat untuk saya.

"Jadi, itulah dia lumrah kehidupan. Setiap permulaan ada pengakhiran dan setiap pertemuan, ada perpisahan. Tapi saya harap sangat, ukhwah yang terjalin antara kita dapat diteruskan kalau boleh buat selamanya," katanya.

Penyampai radio berusia 54 tahun itu berkongsi berita sedih tersebut menerusi video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Namun begitu, saya nak anda tahu yang saya rasa amat dihargai dan terharu.

ABBY FANA

PENYAMPAI RADIO

Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dengan berita tersebut memandangkan Abby atau nama sebenarnya Habsah Omar antara penyampai radio yang disegani.

Dalam pada itu, Abby meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas sokongan serta kasih sayang yang diberikan pendengar setianya sepanjang 20 tahun berkhidmat dalam bidang tersebut.

Malah Abby turut berasa terharu dengan reaksi positif yang diterima biarpun menganggap dirinya bukanlah seorang penyampai radio yang terkenal.

"14 tahun yang indah... syukur Alhamdulillah. Terima kasih semua diatas sokongan dan kasih sayang anda selama ini. Semoga dipermudahkan langkah-langkah kita seterusnya di tahun 2021.



Abby berasa terharu dan dihargai atas sokongan pendengar.

"Saya ingin mohon maaf sebab lewat memaklumkan tentang hari terakhir saya di Sinar sebab tak tahu macam mana nak beritahu. Rasa-rasanya ramai yang sudah tahu 31 Disember 2020 merupakan hari terakhir saya di Sinar.

"Sebenarnya saya rasa terharu bila ramai yang beri reaksi dan ramai juga yang terkejut sebab maklumlah... saya ini hanya penyampai radio biasa. Tak ada luar biasa atau istimewa.

"Namun begitu, saya nak anda tahu yang saya rasa amat dihargai dan terharu. Terima kasih sangat diatas sokongan anda selama ini. 14 tahun di Sembang Sinar dan secara keseluruhan 20 tahun," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain