suria

Bapa ‘pergi’ pagi 27 Ramadan… Anak mangsa kemalangan digilis lori selepas ‘disondol’ superbike reda sambut Aidilfitri dalam duka

Arwah yang maut dalam kemalangan pada Selasa sempat mencuba motosikal baru anaknya beberapa hari sebelum kejadian. -Gambar Threads

BERBAKI beberapa hari sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal, seorang anak meluahkan kesedihan selepas bapanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang di Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Berdasarkan video yang tular, ketika kejadian sekitar pukul 7.40 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal dilihat cuba untuk memperlahankan kenderaannya ketika menghampiri sebuah lori yang bergerak di lorong kanan.

Namun secara tiba-tiba, datang sebuah motosikal berkuasa tinggi dari arah belakang merempuh motosikal lelaki tersebut sebelum terjatuh di atas jalan.

Impak pelanggaran itu menyebabkan lelaki itu digilis lori berkenaan.

Individu dikenali sebagai Izz berkata, pemergian bapanya amat memberi kesan mendalam lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Ayah, sikit lagi kita nak raya sama-sama, namun takdir tak mengizinkan untuk kita beraya bersama tahun ini. 

"Banyak jasa yang Izz tak sempat balas pada ayah. Semoga ayah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Izz turut menceritakan kenangan terakhir bersama arwah yang baru sahaja berpeluang menaiki motosikal baharu miliknya.

“Baru je haritu nampak ayah gelak, hari ini Izz menangis dalam diam melihat keadaan ayah yang terkaku,” katanya.

Anak lelaki itu turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat membalas jasa bapanya yang sentiasa berada di sisi keluarga ketika susah dan senang.

“Izz tak sekuat ayah, tak sekuat ibu, tapi Izz kena kuat juga untuk jaga ibu dan adik-adik,” katanya.

Dalam masa sama, dia sebagai waris keluarga memohon orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang rakaman video, gambar kemalangan atau keadaan arwah demi menjaga maruah serta aib bapanya.

Izz turut memaklumkan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu juga tampil menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang meragut nyawa bapanya.

 

Artikel Lain