suria

Simpan sikit ‘skill’ pandai memasak... Ini tip untuk menantu perempuan kali pertama beraya dengan keluarga suami

Bersikap ringan tulang boleh membantu wanita yang pertama kali bergelar menantu untuk menyesuaikan diri dengan keluarga mentua. -Gambar hiasan AI

BAGI wanita yang baharu bergelar isteri dan bakal meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri di rumah mentua buat kali pertama, anda pasti diselubungi perasaan bercampur-baur.

Debaran pasti terasa kerana perlu menyesuaikan diri dengan suasana dan rutin keluarga baharu, namun dalam masa sama ingin memberikan impresi yang baik sebagai menantu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita kongsi petua buat ‘teh kesuburan’, ikhtiar untuk kaum Hawa sedang TTC

Di Threads, seorang individu berkongsi beberapa panduan ringkas buat wanita yang pertama kali menyambut Hari Raya di rumah mentua agar terlihat bijak membawa diri dan tidak menimbulkan tanggapan kurang menyenangkan.

1. Pandai membawa diri di dapur

Sebagai permulaan, cuba bantu melakukan tugasan yang mudah di dapur seperti memotong bahan masakan atau menyiang sayur.

Walaupun anda mungkin mahir memasak, sebaiknya elakkan mengambil alih penyediaan menu utama Hari Raya.

Maklumlah, ibu mertua atau ipar lain sudah bertahun-tahun menyediakan hidangan, jadi biarlah beliau terus menyumbang sentuhan istimewanya di dapur.

2. Pilih topik perbualan yang sesuai

Pilihlah topik yang ringan dan santai seperti persiapan baju raya, rancangan televisyen terkini atau kisah-kisah menarik berkaitan sambutan Syawal.

Perbualan seperti ini dapat mengeratkan hubungan tanpa menimbulkan rasa kurang selesa.

Elakkan topik yang melibatkan mengumpat atau bercakap tentang keburukan orang lain.

3. Ringan tulang melakukan tugas Hari Raya

Ketika suasana rumah dipenuhi tetamu, pasti ada tugasan kecil yang perlu dilakukan sepanjang hari.

Antaranya membancuh minuman untuk tetamu, mengisi semula bekas kuih atau membantu menyediakan hidangan di meja.

Walaupun nampak ringkas, sikap ringan tulang ini akan menunjukkan anda sentiasa bersedia membantu.

Jika melihat ahli keluarga lain sibuk di dapur atau melakukan kerja rumah seperti memasang langsir, tidak salah untuk turut menawarkan bantuan.

Bijak membawa diri dan ringan tulang membolehkan menantu mudah menyesuaikan diri dengan keluarga mentua. -Gambar hiasan AI

4. Bangun awal 

Salah satu perkara yang sering menjadi perhatian ialah sikap menantu pada waktu pagi.

Bangun awal dan menjengah dapur untuk melihat apa yang boleh dibantu sudah memadai.

Anda tidak perlu tergesa-gesa menyediakan hidangan besar, memadai dengan menyediakan minuman panas atau membantu menyediakan sarapan ringkas. 

5. Jaga tutur kata

Dalam keluarga besar, setiap individu mempunyai perangai dan cara tersendiri.

Jika terlihat ada menantu lain yang kurang membantu atau bersikap tidak menyenangkan, sebaiknya elakkan daripada mengeluarkan komen atau merungut mengenainya

 Biarlah orang lain membuat penilaian sendiri, sementara anda fokus kepada menjaga tingkah laku dan tutur kata.

6. Elakkan terlalu banyak merungut

Pulang beraya di kampung kadangkala memerlukan sedikit penyesuaian.

Cuaca yang panas, kemudahan rumah yang sederhana atau tidur beramai-ramai di ruang tamu mungkin terasa kurang selesa.

Namun, cuba elakkan daripada terlalu banyak merungut sehingga didengari oleh keluarga mentua. Sikap bertolak ansur dan mudah menyesuaikan diri akan membuatkan suasana lebih harmoni.

Walaupun tip ini kelihatan mudah, perkara kecil seperti ini sebenarnya boleh membantu wanita yang pertama kali bergelar menantu untuk menyesuaikan diri dengan lebih baik.

Apa yang penting, bersikap sopan, ringan tulang dan menghormati keluarga mentua sudah memadai untuk memberi impresi baik sebagai menantu.

Artikel Lain