suria

Tak perlu guna ‘bin Abdullah’ ketika daftar zuriat tak sah taraf... Ini cara pelihara aib anak tak berdosa

Pemilihan nama anak boleh memberi kesan pada masa depan. -Gambar hiasan AI

WANITA yang bakal melahirkan anak luar nikah disarankan lebih berhati-hati dalam memilih nama ketika pendaftaran.

Menurut seorang individu, perbuatan ibu dan bapa kepada anak tersebut sememangnya salah di sisi agama tetapi anak tidak seharusnya menanggung dosa mereka.

Justeru itu, dia menyarankan ibu dan bapa kepada anak tersebut memilih nama bersesuaian bagi mengelak stigma dan tanggapan negatif masyarakat pada masa hadapan.

Anak tidak berhak dihukum atas kesilapan ibu bapa biologinya. -Gambar hiasan AIAnak tidak berhak dihukum atas kesilapan ibu bapa biologinya. -Gambar hiasan AI

“Kalau anak dah lahir, jangan terus letak bin atau binti Abdullah. Kadang-kadang mulut orang ni tak boleh jaga, suka mengata, mulut puaka.

"Letak 99 nama Allah sebagai alternatif seperti Abdul Rahman atau Abdul Rahim sebagai sebahagian daripada nama anak. Sekurang-kurangnya aib anak itu tertutup.

"Kalau orang tanya, boleh jawab sahaja ibu tunggal. Bukan semua orang betul-betul faham dan tak menghakimi,” katanya.

Individu tersebut turut mendakwa menerima maklumat itu hasil perkongsian daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain itu, seorang lagi individu berkongsi pandangan berhubung kes melibatkan pasangan yang sudah berkahwin tetapi status anak masih dikategorikan sebagai anak luar nikah mengikut hukum atau undang-undang.

“Kalau dah bersuami, boleh letakkan nama suami sebagai nama anak tanpa bin atau binti, contohnya Amira Hakim binti Abdullah,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak yang bersidang pada 31 Julai 2017 memutuskan bahawa anak yang tidak taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama.

"Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia," katanya.

Artikel Lain