suria

Dah pasang azam nak kurus? Kenali dua jenis lemak utama dalam badan sebelum mulakan ‘journey’ diet

Ketahui jenis lemak sebelum memulakan perjalanan untuk diet. -Gambar hiasan AI

MEMANDANGKAN kurang tiga bulan saja lagi Aidilfitri bakal menjelma, topik menurunkan berat badan kembali menjadi perbualan ramai.

Namun sebelum anda terburu-buru memulakan diet, ada satu perkara penting yang perlu difahami mengenai jenis lemak yang sebenarnya perlu dikurangkan.

Ini kerana tidak semua lemak badan memberi kesan yang sama terhadap kesihatan.

Perkara ini dikongsikan oleh doktor perubatan, Dr Sani yang mengingatkan bahawa kurus tidak semestinya bermakna sihat.

Dalam dunia perubatan, terdapat individu yang kelihatan langsing tetapi sebenarnya mempunyai kandungan lemak dalaman yang tinggi. 

Keadaan ini dikenali sebagai skinny fat di mana tubuh nampak kurus di luar, namun organ dalaman dikelilingi oleh lemak tidak sihat.

Dua jenis lemak berbeza yang ada dalam badan manusia.

Secara umum, tubuh manusia mempunyai dua jenis lemak utama:

Lemak subkutaneus

Lemak yang berada di bawah kulit dan boleh dirasa atau dicubit di bahagian lengan, paha serta perut. Lemak ini lebih mempengaruhi penampilan fizikal.

Lemak viseral

Lemak tersembunyi yang berada jauh di dalam rongga abdomen dan menyelaputi organ-organ dalaman. 

Inilah lemak yang lebih berbahaya kerana ia memberi kesan langsung terhadap tahap kesihatan.

Jika lemak subkutaneus mempengaruhi rupa, lemak viseral pula mempengaruhi risiko penyakit.

Pemilihan jenis makanan penting sebelum memulakan

Pemilihan jenis makanan penting untuk menurunkan berat badan. -Gambar hiasan AI

Menurut perkongsian Dr Sani, pengurangan walaupun sedikit lemak viseral mampu menurunkan risiko diabetes dan penyakit jantung dengan ketara, meskipun bacaan berat badan di penimbang tidak banyak berubah.

Dalam hantaran dibuat, Dr Sani turut menyarankan tiga cara mudah untuk menurunkan berat badan dengan lebih bijak.

1. Bergerak lebih aktif.

2. Amalkan pemakanan yang lebih sihat.

3. Jika kekangan masa menjadi halangan, Dr Sani turut mencadangkan kaedah kawalan kalori yang lebih mudah seperti meal replacement (makanan gantian).

Artikel Lain