PENDARAHAN hidung berulang selama dua bulan yang dialami seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun akhirnya terjawab dengan satu penemuan mengejutkan apabila seekor lintah didapati berada di dalam rongga hidungnya.
Kejadian menimpa kanak-kanak tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun @oxomiya Jiyori menerusi laman X.
Difahamkan, kanak-kanak berasal dari India itu sering mengadu sakit pada bahagian hidung sebelah kanan selain mengalami episod pendarahan yang berulang, namun tiada sebarang sejarah kecederaan direkodkan.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu objek berwarna kehijauan dan keperangan yang bergerak di dalam rongga hidungnya, sebelum disahkan sebagai lintah.
Difahamkan, kanak-kanak berkenaan sering menghabiskan masa di kawasan sawah dan hutan bagi membantu mengembala haiwan ternakan, sekali gus meningkatkan risiko terdedah kepada parasit air tawar.
Untuk tujuan rawatan, air dimasukkan ke dalam rongga hidung bagi memaksa lintah keluar, sebelum ia dikeluarkan sepenuhnya menggunakan forceps, iaitu sejenis alat perubatan berbentuk penyepit.
Menerusi satu rakaman video yang dikongsikan [Tonton Video], kelihatan seorang individu membantu mengeluarkan lintah tersebut yang bersaiz agak besar dari hidung kanak-kanak itu.
Kes ini sekali lagi menjadi peringatan tentang kepentingan mendapatkan pemeriksaan perubatan segera apabila mengalami simptom luar biasa, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang sering terdedah kepada persekitaran semula jadi.


