Jepun menggunakan bacaan ukur lilit sebagai penanda aras bagi mengesan obesiti berbanding Malaysia yang menggunakan kaedah BMI. -Gambar hiasan/Agensi
SEJAK sekian lama, masyarakat Malaysia menggunakan BMI untuk menilai tahap obesiti dan kesihatan individu. Indeks Jisim Tubuh atau BMI merupakan formula pengiraan berat badan yang dikira bersama ketinggian bagi menentukan sama ada seseorang itu mempunyai berat badan ideal atau berlebihan. Namun, tahukah anda di negara Jepun, ada cara lain yang diguna pakai iaitu dengan menilai ukuran lilit pinggang atau waist circumference.Menurut pengamal perubatan, Dr. Aisha Ali, ukuran lilit pinggang dipilih di Negara Matahari Terbit itu kerana ia merupakan penanda aras sebenar kepada tahap kesihatan metabolik.Ramai tidak menyedari walaupun bacaan BMI seseorang berada pada tahap normal, keadaan perut yang buncit tetap meletakkan kesihatan mereka pada risiko yang tinggi. Ini kerana lemak pada bahagian abdomen sebahagian besarnya terdiri daripada visceral fat atau lemak organ yang menyelimuti organ dalaman.Ia seterusnya memberi impak buruk secara langsung kepada kesihatan kardiovaskular dan jantung.Di Jepun, ukuran lilit pinggang dipantau dengan begitu tegas demi memastikan kesejahteraan rakyatnya sentiasa terpelihara. Had ambang yang ditetapkan adalah 85 sentimeter(cm) atau lebih bagi lelaki, manakala bagi wanita pula adalah 90cm atau lebih. Menariknya, mana-mana individu yang melepasi ukuran tersebut akan diwajibkan untuk menyertai program pengurusan diet pemakanan dan rutin senaman berjadual oleh penyedia insurans bagi memulihkan semula tahap kesihatan mereka.Cara buat ukuran teknik ukur lilitBagi memastikan bacaan yang diambil tepat, Dr. Aisha turut berkongsi teknik mudah pengiraan untuk dicuba sendiri di rumah. Anda hanya perlu mencari kedudukan pusat, meletakkan dua jari melintang tepat di atasnya, dan melilitkan pita pengukur di paras berkenaan. Selain itu, anda juga boleh mencari kedudukan tulang rusuk yang terakhir di bahagian hadapan badan dan mengukur lilitan di kawasan tersebut. Pastikan ukuran sentiasa diambil menggunakan unit sentimeter dan bukannya inci.