suria

Ubat ‘ringan’ tapi bahaya jika terlebih dos... Ramai tak sedar telan ‘Paracetamol berganda’, boleh undang risiko hati rosak

Pengambilan ubat dengan kandungan bahan aktif sama boleh memudaratkan kesihatan. -Gambar hiasan AI

MUSIM hujan sering dikaitkan dengan peningkatan kes selesema, batuk, sengal badan dan pelbagai symptom lain. 

Tidak hairanlah farmasi 24 jam menjadi persinggahan wajib dengan ramai memilih ubat 'multi simptom' untuk melegakan rasa tidak selesa yang dialami.

Namun tanpa disedari, rutin yang kelihatan biasa ini boleh mengundang risiko kesihatan serius jika mengambil bahan aktif yang sama berulang kali iaitu paracetamol.

Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), ramai individu tidak menyedari bahawa paracetamol, acetaminophen dan PCM sebenarnya merujuk kepada bahan yang sama. 

Ini bermakna, walaupun seseorang merasakan mereka mengambil tiga jenis ubat berbeza (ubat selesema, ubat tahan sakit dan ubat batuk), kandungan paracetamol mungkin telah diambil berulang kali.

Keadaan ini menjadi berbahaya apabila jumlah dos terkumpul melebihi paras selamat. 

Walaupun paracetamol dianggap sebagai ubat 'ringan' (tidak membahayakan kesihatan), pengambilan berlebihan boleh menyebabkan kerosakan hati, dan tanda awalnya sering menyerupai simptom sakit biasa, menyebabkan ia sering dipandang remeh.

Pengambilan ubat berlebihan boleh memudaratkan kesihatan. -Gambar hiasan AI

Had selamat paracetamol untuk dewasa

Bagi orang dewasa, had maksimum paracetamol dalam tempoh 24 jam adalah sekitar 4,000 miligram (4 gram). 

Jika satu tablet mengandungi 500 miligram, maka had maksimum adalah lapan biji sehari, dengan jarak pengambilan setiap empat hingga enam jam.

Bagi kanak-kanak pula, dos tidak boleh diagak secara sembarangan kerana ia perlu mengikut berat badan dan panduan pada label ubat, dan kebiasaannya tidak melebihi empat kali dalam tempoh 24 jam. 

Untuk bayi yang masih kecil atau jika ibu bapa tidak pasti, nasihat daripada klinik atau farmasi amat disarankan sebelum pengambilan paracetamol dibuat.

Cara elak 'Paracetamol berganda'

PHM turut berkongsi beberapa langkah mudah dan realistik bagi mengelakkan pengambilan paracetamol berlebihan:

1. Pilih satu sumber paracetamol sahaja pada satu masa. Jika ubat selesema sudah mengandungi paracetamol, elakkan menambah ubat lain yang juga mempunyai bahan sama.

2. Ambil gambar label 'active ingredients' sebelum makan ubat supaya anda lebih peka terhadap kandungannya.

3. Catat masa dos terakhir di telefon bagi mengelakkan pengambilan berulang tanpa sedar.

Sekiranya seseorang merasakan mereka telah tersalah mengambil dos berlebihan, atau berlaku kes anak termakan ubat, PHM menegaskan agar tidak menunggu lama. 

Segera hubungi talian kecemasan, 999 atau Pusat Racun Negara untuk mendapatkan nasihat dan bantuan segera.

Artikel Lain