suria

[V] Menakutkan! Salah teknik angkat barang, lelaki tahan sakit selepas bunyi ‘meletup’ di pinggang

Video tular menunjukkan seorang lelaki dalam keadaan kesakitan selepas bunyi meletup pada bahagian pinggang.

SATU video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki diusung masuk ke dalam sebuah kenderaan selepas dilaporkan mengalami kecederaan serius pada bahagian pinggang ketika mengangkat barang.

Menerusi video yang dikongsikan akaun ShahPutra di TikTok [Tonton Video], lelaki berkenaan dilihat menahan kesakitan sebelum diletakkan dalam keadaan baring di dalam kereta oleh beberapa individu yang berada di lokasi kejadian.

"Kecundang pada hari terakhir (bekerja) di Langkawi. Pinggang 'meletup' masa angkat barang," tulis individu berkenaan di ruangan kapsyen.

Memetik portal Hello Doktor, situasi itu dipercayai berpunca daripada kecederaan muskuloskeletal akut yang berlaku akibat pergerakan mengangkat beban secara tidak ergonomik.

Pergerakan salah itu menyebabkan kecederaan serius pada struktur tulang belakang termasuk otot, ligamen dan cakera intervertebral.

Postur betul penting untuk mengelakkan kecederaan semasa mengangkat barang berat. -Gambar hiasan AI

Dalam pada itu, sebuah klinik rawatan tulang, Klinik Tulang Suria, sebelum ini turut berkongsi peringatan berkaitan risiko kecederaan 'pinggang meletup' yang boleh berlaku ketika mengangkat beban berat. 

Sebagaimana dikongsikan, orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan teknik angkatan yang betul bagi mengurangkan risiko kecederaan serius.

Posisi mencangkung dengan membengkokkan lutut dan mengekalkan tulang belakang dalam keadaan lurus adalah kaedah lebih selamat berbanding membongkok, sama ada ketika mengangkat beban ringan mahupun berat.

Teknik ini membantu mengagihkan beban kepada otot kaki dan pinggul, sekali gus mengurangkan tekanan berlebihan ke atas tulang belakang.

Malah kecederaan pada bahagian pinggang bukan sahaja boleh menjejaskan pergerakan harian, malah berpotensi menyebabkan komplikasi jangka panjang seperti slip disc jika tidak dirawat dengan segera dan betul.

Artikel Lain