suria

Kucing dijangkiti FIP, doktor saran pemilik tak cepat ‘give up’... ‘Euthanasia’ pilihan terakhir, cuba rawat dulu

Setiap individu perlu buat pertimbangan wajar sebelum memutuskan untuk melakukan PTS terhadap haiwan peliharaan. -Gambar hiasan AI

KISAH seekor kucing yang disahkan menghidap Feline Infectious Peritonitis (FIP) dan keputusan pemiliknya untuk melakukan 'euthanasia' atau Put To Sleep (PTS) mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.

FIP adalah penyakit virus yang membawa maut pada kucing disebabkan oleh Feline Coronavirus (FCoV).

Ada yang melihat PTS sebagai satu tindakan yang terlalu tergesa-gesa, tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan soal tanggungjawab serta kasih sayang terhadap haiwan peliharaan.

Namun dalam dunia perubatan veterinar, keputusan itu yang memerlukan hayat haiwan ditamatkan tidak semudah yang disangka. 

Perkara ini bukan sekadar soal mahu melakukannya atau tidak, tetapi turut melibatkan penilaian tahap kesakitan, kualiti hidup serta kebajikan haiwan yang sedang menderita.

Menurut doktor veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali atau Dr Ima, terdapat garis panduan tertentu yang perlu difahami sebelum keputusan besar seperti euthanasia dibuat, khususnya melibatkan kes FIP.

Jelas Dr Ima yang juga pengasas Klinik Veterinar Serv-U di Kota Kemuning dan Klinik Veterinar Trio di Bandar Sri Damansara, semua pemilik haiwan sebenarnya mempunyai pilihan rawatan dan keputusan tidak seharusnya dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh.

Bila euthanasia boleh diterima?

Dr Ima berkata, keputusan euthanasia biasanya dibuat atas dasar belas ihsan apabila kucing menunjukkan penderitaan yang sangat serius dan kualiti hidupnya sudah tidak boleh dipulihkan.

Antara contoh kes yang boleh dipertimbangkan ialah apabila kucing sudah tidak mampu makan dan minum walaupun diberikan sokongan melalui rawatan, selain mengalami kesukaran untuk bernafas.

Ada juga kes apabila kucing berada pada tahap akhir FIP melibatkan saraf (neurologi) seperti sawan berterusan, koma (tiada respons) dan tidak mampu berjalan.

"Euthanasia boleh menjadi pilihan berperikemanusiaan untuk mengelakkan penderitaan yang berpanjangan jika (haiwan peliharaan) teruskan hidup. 

"Contohnya dalam situasi di mana rawatan telah dicuba tetapi tidak menunjukkan sebarang respons, atau diagnosis dimulakan terlalu lewat sehingga keadaan sudah sakit (kritikal)," katanya kepada mStar.

Dr Ima menjelaskan mengenai pertimbangan dan keputusan untuk PTS haiwan.

Bila keputusan euthanasia dianggap terlalu awal?

Kata Dr Ima, keputusan untuk menamatkan nyawa kucing boleh dianggap terlalu awal jika FIP baru dikesan, kucing masih memberi respons, masih boleh atau ada selera makan dan rawatan belum pun dicuba.

Dalam kebanyakan kes, doktor veterinar akan membentangkan atau mengesyorkan beberapa pilihan rawatan dan pemilik diberi ruang untuk membuat keputusan berdasarkan kemampuan masing-masing sebelum memutuskan untuk PTS.

Boleh atau tidak faktor kos dan komitmen jadi alasan untuk euthanasia?

Mengulas isu kos dan komitmen penjagaan dari sudut etika veterinar, Dr Ima menjelaskan bahawa faktor kewangan dan komitmen boleh diterima (dengan syarat) sebagai alasan tidak kuat untuk mempertimbangkan euthanasia.

Namun begitu, bukan kerana 'tidak mahu' tetapi disebabkan pemilik tidak mampu untuk meneruskan rawatan yang menelan kos tinggi.

Bagaimanapun, keputusan tersebut perlu dibuat dengan penuh pertimbangan terhadap kebajikan bagi mengelakkan haiwan mengalami penderitaan berpanjangan selain tiada respons terhadap rawatan.

Apa yang patut diteroka atau dipertimbang sebelum buat keputusan?

Sebelum sampai ke tahap euthanasia, Dr Ima menegaskan bahawa doktor wajib memberi penjelasan lengkap dan jujur kepada pemilik termasuk kos sebenar dan tempoh rawatan serta komitmen penjagaan yang diperlukan.

Antara pilihan yang boleh dipertimbangkan termasuk:

1. Mencuba rawatan seama beberapa hari sebagai penilaian awal kepada haiwan peliharaan.

2. Mendapatkan pandangan kedua daripada doktor yang berpengalaman dengan kes FIP.

3. Mendapatkan bantuan komuniti atau melakukan 'crowdfunding' (kutipan dana).

4. Mencari foster (penjaga sementara) yang berpengalaman dengan kes FIP (dengan caj tertentu).

Menurut Dr Ima, keputusan euthanasia hanya patut dibuat apabila semua pilihan telah diterangkan, pemilik benar-benar memahami situasi dan keputusan dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak.

Dr Ima turut menegaskan bahawa euthanasia bukan bermaksud 'menyerah kalah' atau 'membunuh', sebaliknya ia adalah satu keputusan yang dibuat dengan mempertimbangkan kebajikan haiwan apabila penderitaan tidak lagi dapat dielakkan.

Artikel Lain

Ibu Ziana, Anuar Zain meninggal dunia