suria

Sanggup beratur panjang gara-gara FOMO! Hati-hati makan Bonsha, ‘dessert’ viral tinggi kandungan gula

Berhati-hati dengan kandungan gula dalam makanan viral yang dibeli. -Gambar hiasan AI

TANPA disedari pengaruh makanan tular di media sosial dilihat semakin membentuk tabiat pemakanan harian masyarakat.

Bukan kerana terlalu lapar, sebaliknya perasaan enggan ketinggalan atau Fear of Missing Out (FOMO) mendorong orang ramai untuk mencuba makanan yang sedang menjadi buah mulut.

Terbaharu snek manis yang dikenali sebagai Bonsha, Bonshi dan Bonshu mendapat perhatian ramai dan mula dijual secara meluas.

Lebih menarik snek bersaiz kecil dengan pelbagai perisa itu turut dijual dengan konsep pandu lalu bagi memudahkan pembeli.

Menurut perkongsian Public Health Malaysia, snek seperti Bonsha yang kecil dan mudah dimakan itu sebenarnya padat tenaga serta tinggi kandungan kalori. 

Gabungan rasa manis dan coklat menyebabkan ramai tidak berhenti pada dua atau tiga biji sahaja, sebaliknya hingga habis sebalang.

Tanpa sedar, tabiat ini menyumbang kepada peningkatan pengambilan kalori dan gula secara senyap dalam diet harian.

Bagi hidangan lima biji snek bebola itu, kandungan gulanya dianggarkan sekitar 15 ke 25 gram bersamaan dengan 250 hingga 350 kalori. 

Bagaimanapun, pengambilan snek manis masih boleh dilakukan secara terkawal dengan mengehadkan kuantiti kepada dua hingga tiga biji, mengambilnya selepas waktu makan utama serta memastikan minum air kosong mencukupi.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak berasa bersalah secara melampau kerana keinginan terhadap makanan manis adalah perkara normal. 

Namun, kawalan dan kesedaran diri penting bagi mengelakkan kesan jangka panjang terutama bagi mereka yang sedang mengawal berat badan, menghidap diabetes atau mudah mengalami keinginan manis.

Artikel Lain