suria

Suami meninggal dunia, isteri jangan anggap barang kemas dibeli 'auto' jadi hak sendiri... Mungkin perlu difaraid

Harta pusaka perlu dibahagikan mengikut faraid selepas kematian suami. -Gambar hiasan AI

RAMAI isteri menyangka barang kemas yang dipakai setiap hari adalah hak mutlak mereka, apatah lagi jika ia dibeli oleh suami dalam tempoh perkahwinan. 

Hakikatnya, pemahaman itu tidak semestinya tepat dari sudut pemilikan harta menurut Perunding Pewarisan Harta Islam, Fazli Mazlan.

Perkara tersebut dijelaskan susulan situasi seorang suami yang meninggal dunia selepas bertahun-tahun membelikan isterinya emas termasuk rantai, gelang dan cincin yang dipakai secara harian.

Menurut Fazli, semua barang kemas tersebut tidak semestinya secara automatik menjadi milik isteri selepas kematian suami.

Peguam berkenaan menjelaskan bahawa pemilikan barang kemas tidak ditentukan berdasarkan siapa yang memakainya, sebaliknya bergantung kepada siapa pemilik sebenar ketika suami masih hidup.

Jika barang kemas tersebut benar-benar dihadiahkan kepada isteri atau dibuat hibah semasa hidup suami, maka ia menjadi milik isteri sepenuhnya dan tidak termasuk dalam harta pusaka yang perlu difaraidkan.

Namun sekiranya barang kemas itu sekadar dibelikan, dipakai atau digunakan tanpa hibah yang jelas, ia masih dianggap sebagai harta milik suami.

Apabila suami meninggal dunia, barang kemas berkenaan bertukar status menjadi harta pusaka dan perlu diagihkan kepada semua waris yang berhak.

Jelas Fazli, inilah sebabnya niat memberi perlu disertakan dengan perancangan serta pengesahan yang jelas dan bukan hanya bergantung kepada kebiasaan dalam kehidupan seharian.

Artikel Lain