suria

Ramai anggap kotoran biasa, tompok hitam pada bawang rupanya kulat berbahaya

Tompok hitam pada bawang boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan.

TOMPOKAN hitam pada bawang yang sering dianggap sebagai debu biasa atau kesan asap sebenarnya boleh menjadi petanda kehadiran kulat berbahaya dikenali sebagai Aspergillus niger.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, Syafiq Nazmi, yang menjelaskan bahawa kulat berkenaan mampu menghasilkan mikotoksin dan memberi risiko kesihatan, khususnya kepada individu yang mempunyai alahan atau sistem imun yang lemah.

Menurut Syafiq, Aspergillus niger boleh menyebabkan jangkitan seperti 'aspergillosis' yang menyerang paru-paru serta 'otomycosis' atau jangkitan telinga. 

Dalam sesetengah keadaan, kulat ini juga boleh menghasilkan toksin dikenali sebagai 'ochratoxin' yang dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang.

Sehubungan itu, Syafiq menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mengendalikan bawang yang mempunyai tompok hitam. 

Basuh bahagian tompok hitam menggunakan air garam sebelum digunakan.

Antara langkah yang disarankan ialah membuang bahagian yang dijangkiti kulat atau menggantikan keseluruhan bawang dengan yang baharu bagi mengelakkan risiko pencemaran.

Syafik turut berkongsi bahawa kulat sensitif terhadap garam, justeru bawang boleh dibasuh menggunakan air bersih yang ditapis bersama garam sebagai langkah awal pembersihan.

Perkongsian itu selari dengan amaran yang pernah dikongsikan oleh pakar kesihatan, Dr Sina, yang menjelaskan bahawa tompok hitam pada bawang bukan sekadar kotoran biasa.

Sebaliknya ia berpunca daripada kulat yang boleh memberi kesan buruk jika spora disedut atau dimakan golongan berisiko termasuk pesakit diabetes, penghidap asma, penyakit paru-paru dan individu dengan daya tahan badan rendah.

Dr Sina menegaskan penyimpanan bawang secara betul amat penting bagi mengurangkan pertumbuhan kulat, selain mengelakkan pengguna terdedah kepada risiko jangkitan dan komplikasi kesihatan.

Artikel Lain