suria

Tak sempat habis secawan kopi, perut dah meragam nak ke tandas! Ini penjelasan yang ramai tak tahu

Rasa nak membuang biasa berlaku bagi sesetengah individu selepas minum secawan kopi. -Gambar hiasan AI

SITUASI ingin segera ke tandas sejurus selepas minum kopi sering berlaku dalam rutin harian ramai orang, terutamanya pada waktu pagi.

Keadaan yang menjadi tanda tanya ramai ini sebenarnya berkait rapat dengan tindak balas semula jadi sistem pencernaan tubuh manusia.

Menurut perkongsian Public Health Malaysia, rasa ingin membuang air besar selepas minum kopi bukanlah sesuatu hal yang pelik. 

Kafein dalam kopi bertindak sebagai perangsang yang mengaktifkan sistem saraf, sekali gus meningkatkan pergerakan usus besar. 

Apabila usus bergerak dengan lebih aktif, isyarat untuk membuang najis akan dihantar dengan lebih cepat. 

Fenomena ini menyebabkan ada individu yang belum sempat menghabiskan secawan kopi, badan sudah memberi ‘isyarat’ untuk membuang air besar.

Tambah PHM, kesannya bukan datang daripada kafein semata-mata kerana kopi juga merangsang penghasilan hormon gastrin dan meningkatkan paras asid dalam perut. 

Gabungan faktor ini boleh mempercepatkan proses pencernaan, lebih-lebih lagi jika kopi diminum pada waktu pagi ketika perut masih kosong.

Namun, jika keadaan ini berlaku terlalu kerap atau disertai simptom seperti sakit perut, cirit-birit atau rasa tidak selesa, langkah berjaga-jaga perlu diambil. 

Antaranya mengurangkan pengambilan kafein, mengelakkan minum kopi ketika perut kosong atau memilih kopi rendah kafein. 

Ini kerana setiap individu mempunyai tindak balas badan yang berbeza terhadap kopi yang diambil.

Artikel Lain