PERKONGSIAN seorang individu yang aktif bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat tentang pertemuan dengan warga emas berusia 87 tahun membuka matanya tentang penjagaan kesihatan.
Menurut Mohd Razali, warga emas berkenaan mendedahkan tabiat dan rutin harian yang diamalkan sejak sekian lama, membolehkan dia kekal sihat dan bertenaga walaupun usia semakin lanjut.
Difahamkan tiada rahsia ajaib mengenai kesihatannya tetapi terdapat tabiat ringkas dilakukan setiap hari menyebabkan dia tidak pernah dimasukkan atau pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Berikut lima tabiat yang dikongsikan warga emas berkenaan:
1. Minum air suam setiap pagi
Sejurus bangun tidur dan sebelum melakukan sebarang aktiviti, minum segelas air kosong.
Amalan ini membantu menghidrasi badan selepas tidur serta melancarkan sistem pencernaan.
2. Gerakkan badan setiap hari
Aktiviti fizikal dilakukan bukan untuk memaksa badan atau mengejar keremajaan, sebaliknya bagi melancarkan aliran darah, menjaga kekuatan otot dan memastikan tubuh kekal bertenaga.

Tahap kesihatan seseorang individu bergantung pada rutin yang diamalkan. -Gambar hiasan AI
3. Makan secara ringkas dan berhenti sebelum terlalu kenyang
Menurutnya, apabila badan tidak dibebankan dengan lebihan makanan, keseimbangan tubuh lebih mudah dijaga dan kesihatan dapat dikekalkan.
4. Jaga ketenangan jiwa
Dia memilih untuk hidup tanpa tergesa-gesa, enggan menyimpan tekanan atau kemarahan yang tidak perlu serta tidak terlalu sibuk mencampuri urusan orang lain.
Menurut warga emas itu, ketenangan minda juga membantu menguatkan tubuh.
5. Solat awal waktu
Disiplin menunaikan solat pada awal waktu diamalkan sejak kecil.
Selain membentuk rutin yang teratur, ia membuatkan masa terasa lebih panjang dan hidup lebih tersusun.
Namun tambah Mohd Razali, penjagaan kesihatan bukanlah jaminan seseorang tidak akan jatuh.
Dalam masa sama kesihatan juga tidak hanya boleh diperbaiki di hospital semata-mata.
Sebaliknya, kesihatan terbina melalui usaha-usaha kecil yang dilakukan dan diulang setiap hari.


