BAU bayi sering menjadi antara perkara kecil yang mampu melembutkan hati orang dewasa tanpa sebab jelas.
Ada yang mengaku rasa lebih tenang, sayang dan mahu terus memeluk si kecil hanya kerana satu perkara, baunya.
Walaupun kelihatan remeh, rupa-rupanya baby smell bukan sekadar kesan sabun atau bedak, sebaliknya mempunyai penjelasan sains di sebaliknya.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), bau semula jadi bayi banyak dipengaruhi oleh keadaan kulit mereka yang masih 'bersih' dan belum terdedah kepada pencemaran, peluh berat, makanan berempah atau perubahan hormon seperti orang dewasa.
Kelenjar peluh apokrin yang biasanya menyumbang kepada bau badan kuat juga belum aktif, menjadikan bau kulit bayi lebih neutral, bersih dan segar.
Selain itu, bayi yang baru lahir turut mempunyai sisa lapisan putih krim nipis pada kulit yang dikenali sebagai vernix caseosa.

Bau bayi boleh mengaktifkan pusat ganjaran otak yang dikaitkan dengan rasa gembira dan tertarik. -Gambar hiasan AI
Lapisan ini berfungsi melindungi serta melembapkan kulit bayi dan pada masa sama menghasilkan bau lembut semula jadi yang sering dikaitkan dengan bau bayi baru lahir.
Paling menarik, PHM menjelaskan otak manusia sememangnya diprogramkan untuk menyukai bau bayi.
Kajian neurosains mendapati bau bayi boleh mengaktifkan pusat ganjaran dalam otak orang dewasa iaitu bahagian yang berkait dengan rasa gembira dan tertarik.
Mekanisme ini dipercayai membantu membina naluri untuk mendekat, menyayangi dan melindungi bayi sekali gus menguatkan ikatan emosi antara ibu, ayah dan anak.
Namun, bau istimewa ini tidak kekal selamanya.
Bau bayi hilang apabila mereka mula membesar, mengambil makanan pejal, mengalami perubahan hormon, kelenjar peluh mula aktif dan semakin terdedah kepada persekitaran.
Ketika itu, baby smell akan beransur pudar dan itu merupakan proses yang normal.


