suria

Orang jaga solat pun boleh depresi... Jangan terus menghukum penghidap kemurungan, ini bukan soal iman ‘nipis’

Masalah kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. -Gambar hiasan AI

DEPRESI ialah masalah kesihatan mental yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk individu alim dan warak.

Perkara itu dikongsi Public Health Malaysia (PHM) bagi mengingatkan masyarakat bahawa depresi ialah penyakit kesihatan yang perlu difahami dan bukannya untuk dihukum. 

Ia tidak memilih latar belakang, tahap amalan atau kedudukan seseorang kerana ada individu yang menjaga solat lima waktu, menghafaz al-Quran dan aktif dalam ibadah tetap boleh berdepan depresi.

Jelas PHM lagi, depresi bukan tanda iman berkurang, sebaliknya berlaku apabila minda dan tubuh terlalu lama menanggung tekanan.

Sistem diri boleh terjejas akibat perubahan kimia otak, gangguan hormon stres, corak tidur yang rosak, trauma dan beban hidup yang berpanjangan.

Justeru, pendidikan kesihatan menekankan keseimbangan tiga komponen utama iaitu mental, fizikal dan rohani.

Perkongsian sama menegaskan, ayat menyalahkan seperti 'kau kurang zikir' atau 'kau tak reda' boleh memburukkan keadaan sedangkan depresi memerlukan ruang untuk difahami serta pengurusan yang tepat. 

Melalui cara berdoa boleh menjadi sokongan, namun sokongan manusia, empati dan rawatan juga berperanan sebagai terapi.

Masyarakat diseru agar menemani, jadi pendengar dan tidak cepat menghukum jika terlihat perubahan seseorang itu seperti semakin menjauh, mudah marah atau kelihatan tidak berdaya.

Disarankan bagi individu yang sedang bergelut, berbincanglah dengan orang yang dipercayai seperti pasangan, ahli keluarga, sahabat, kaunselor atau doktor di klinik kesihatan.

Hal ini kerana setiap orang berhak untuk difahami dan dibantu tanpa perlu membuktikan apa-apa.

Artikel Lain