MASALAH kencing tak puas, perlu diteran, aliran terhenti-henti dan rasa seperti masih nak buang air walaupun sudah ke tandas sering dianggap remeh oleh segelintir masyarakat.
Namun menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), keadaan yang sering digelar sebagai 'tidak lawas' ini sebenarnya boleh menjadi petanda bahawa pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya atau wujud halangan pada laluan air kencing.
Keadaan ini menyebabkan aliran air kencing menjadi intermittent, iaitu sekejap keluar dan berhenti seketika, sekali gus memberi isyarat awal kepada gangguan fungsi saluran kencing.
PHM menjelaskan, antara punca yang kerap dikaitkan dengan beberapa simptom antaranya:
1. Pembesaran prostat (dalam kalangan lelaki).
2. Jangkitan kencing atau prostat.
3. Salur kencing sempit.
4. Kehadiran batu serta sembelit teruk yang menekan pundi kencing.
5. Kesan sampingan ubat selsema tertentu.
6. Kelemahan saraf pundi kencing, khususnya dalam kalangan pesakit diabetes yang telah lama menghidap penyakit itu.

Masalah kencing tidak lawas boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. -Gambar hiasan AI
Antara tanda yang perlu diberi perhatian serius adalah seperti berikut:
1. Keperluan meneran kuat ketika kencing.
2. Kencing kerap tetapi hanya keluar sedikit.
3. Rasa penuh atau sakit di bahagian bawah perut.
4. Pedih ketika membuang air kecil.
5. Demam.
6. Air kencing berdarah.
7. Keadaan langsung tidak dapat kencing walaupun terasa hendak berbuat demikian.
Justeru, PHM menasihatkan agar individu yang mengalami simptom ini tidak memandang ringan atau berasa malu untuk mendapatkan rawatan.
Ia bukan tanda 'lemah' dan bukan juga masalah yang wajar dibiarkan sehingga menjadi kecemasan.
Sebaliknya, berbincanglah dengan petugas kesihatan di klinik untuk lakukan pemeriksaan ringkas dan kenal pasti punca sebenar supaya rawatan dapat diberikan dengan lebih mudah dan berkesan.


