SEORANG lelaki yang kematian isteri buntu untuk menguruskan tudung milik arwah berjumlah 164 helai memandangkan dia hanya mempunyai dua orang anak lelaki.
Menurutnya, tudung-tudung berkenaan tidak mungkin digunakan oleh anak-anak, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada semua barangan tersebut boleh terus disedekahkan kepada orang lain.
Isu itu mendapat penjelasan daripada Perunding Pewarisan Harta Islam, Fazli Mazlan yang menegaskan bahawa dalam Islam, setiap harta ditinggalkan oleh si mati, tetap dikira sebagai harta pusaka.
"Walaupun ia hanya tudung, baju, pinggan atau barang peribadi tetap dikira harta pusaka. Nilai kecil atau besar tidak mengubah statusnya.
"Selagi arwah tidak sedekahkan atau hibahkan semasa hidup, harta itu bukan milik sesiapa secara automatik selepas kematian. Apabila isteri meninggal dunia, suami dan anak-anak adalah waris faraid," jelasnya.

Harta milik arwah perlu diurus dengan baik mengikut hukum faraid ditetapkan. -Gambar hiasan AI
Ini bermakna semua tudung berkenaan perlu dimasukkan ke dalam senarai harta pusaka, dinilai secara keseluruhan dan dibahagikan mengikut kadar yang telah ditetapkan dalam hukum faraid.
Walaupun anak-anak lelaki tidak akan menggunakan tudung-tudung tersebut, hak mereka tetap wujud daripada sudut pemilikan, bukan sudut kegunaan.
Menurut Fazli, sekiranya suami terus memberi sedekah semua tudung tanpa persetujuan anak-anak, perbuatan itu boleh dikira sebagai mengurus dan melupuskan harta pusaka tanpa keizinan semua waris.
"Sedekah itu mungkin kelihatan baik, namun jika ia dilakukan ke atas harta yang belum menjadi milik penuh seseorang, ia boleh bertukar menjadi isu amanah," katanya.
Fazli menegaskan, cara yang betul ialah dengan menyelesaikan dahulu urusan pusaka termasuk hutang-hutang arwah.
Sekiranya semua waris bersetuju untuk memberi tudung-tudung tersebut, barulah sedekah itu sah dan pahala boleh sampai kepada arwah.
Jika anak-anak menyerahkan bahagian mereka kepada ayah, barulah si bapa berhak memberikan tudung tersebut sebagai pemilik yang sah.
Fazli dalam hantaran sama turut memberi peringatan bahawa dalam Islam, niat yang baik perlu berjalan seiring dengan cara yang betul supaya pahala sampai dan hak waris tidak terambil.


