suria

Pernah tak perut rasa ‘berombak’, nak terkentut lepas wuduk? Situasi ini tak pelik, ini puncanya

Rasa nak terkentut sering berlaku selepas selesai mengambil wuduk. -Gambar hiasan AI

TULAR di media sosial tentang persoalan dibangkitkan individu mengenai situasi sering berlaku iaitu apabila sebaik selesai berwuduk, rasa hendak melepaskan kentut malah ada yang sampai terasa mahu ke tandas dengan segera.

Walaupun kedengaran malu untuk diperkatakan, hakikatnya situasi ini bukan perkara asing dan dialami oleh ramai orang.

Menurut penjelasan Public Health Malaysia (PHM), keadaan ini berkait rapat dengan refleks semula jadi sistem penghadaman manusia.

Apabila badan mula berada dalam keadaan lebih tenang, aktiviti pencernaan akan menjadi aktif.

Pada masa sama, badan akan lebih cepat menghantar isyarat untuk ia dikeluarkan jika terdapat gas atau najis yang sudah berada di bahagian hujung usus.

Selain itu, pergerakan fizikal ketika berwuduk seperti membongkok, menukar posisi badan serta sentuhan air yang sejuk turut boleh menjadi pencetus kecil yang merangsang perut, terutama bagi individu dengan sistem penghadaman sensitif.

Posisi badan ketika mengambil wuduk mempengaruhi rangsangan kecil pada perut. -Gambar hiasan AI

Risiko untuk mengalami situasi ini juga menjadi lebih tinggi sekiranya seseorang itu mengambil kopi, minuman berkarbonat, makanan pedas atau mudah mempunyai masalah sembelit sebelum berwuduk.

PHM menjelaskan bahawa keadaan ini bukan tanda tubuh 'lemah' atau pelik, sebaliknya ia hanyalah petunjuk bahawa sistem penghadaman seseorang itu mudah terangsang dan memerlukan penjagaan yang lebih lembut.

Antara langkah praktikal yang boleh diamalkan termasuk:

1. Kenal pasti makanan atau minuman yang kerap mencetuskan rasa tidak selesa seperti kopi, minuman berkarbonat, susu atau makanan pedas.

2. Elakkan menahan rasa hendak ke tandas terlalu lama sehingga menyebabkan perut menjadi sakit.

3. Tingkatkan pengambilan air dan serat secara berperingkat sekiranya sering mengalami sembelit.

4. Jika air terlalu sejuk membuatkan perut mudah berangin, gunakan air pada suhu yang lebih selesa apabila keadaan mengizinkan.

Bagaimanapun, PHM mengingatkan agar tidak memandang ringan jika muncul tanda-tanda amaran seperti sakit perut kuat, demam, muntah, cirit berdarah, najis hitam pekat, berat turun tanpa sebab atau cirit yang berpanjangan. 

Dalam situasi ini, pemeriksaan perubatan disarankan bagi memastikan tiada masalah kesihatan yang lebih serius.

Artikel Lain