SELEPAS menikmati hidangan berat, ada kalanya kita berdepan situasi tidak selesa apabila perut tiba-tiba menjadi tegang.
Keadaan ini menyebabkan perut seperti padat keterlaluan sehingga sukar duduk dengan selesa, kerap sendawa, dada terasa sempit dan kepala mula rasa tidak sedap.
Perkara ini menurut Public Health Malaysia (PHM) merupakan situasi yang normal berlaku apabila perut berada dalam situasi overload.
PHM menjelaskan, apabila seseorang makan dalam kuantiti banyak dalam satu masa, perut akan mengembang.
Jika pada masa yang sama anda makan terlalu laju atau gopoh, lebih banyak angin ditelan dan gas akan terkumpul dengan lebih cepat di dalam sistem pencernaan.
Situasi ini menjadi lebih ketara apabila beberapa jenis makanan yang mudah menghasilkan gas diambil serentak.
Antaranya ialah minuman bergas, susu (bagi individu sensitif laktosa), kekacang, kobis, bawang, makanan manis serta berlemak.

Dapatkan pemeriksaan segera sekiranya simptom berlarutan. -Gambar hiasan AI
Apabila semua makanan masuk bersama, gas akan terperangkap dan menyebabkan perut terasa seperti 'belon' yang mengembang.
PHM menyarankan beberapa langkah mudah bagi mengurangkan rasa tidak selesa tersebut, antaranya:
1. Berjalan perlahan selama 10 hingga 15 minit.
2. Melonggarkan pakaian terutama seluar yang ketat
3. Minum air suam sedikit demi sedikit.
4. Individu juga disarankan mengelakkan terus baring selepas makan.
Sekiranya rasa pedih ulu hati atau masam mendominasi, pengambilan antasid boleh membantu.
Manakala bagi masalah kembung dan angin berlebihan, simethicone boleh digunakan untuk mengurangkan pengumpulan gas.
Bagaimanapun, PHM mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan simptom tertentu.
Pemeriksaan segera perlu dilakukan sekiranya sakit perut semakin kuat atau tertumpu di satu kawasan, muntah berulang, demam, perut menjadi keras, najis berdarah atau berwarna hitam, sesak nafas, pening sehingga hampir pengsan atau langsung tidak boleh kentut dan buang air besar.


