suria

Ramai layan siri ‘Mr Queen’, baru tahu wanita ini jadi penterjemah sari kata... Graduan Pengajian Islam UKM bangga jadi ‘translator’ K-drama

Sari kata bagi tiga buah K-Drama yang diterjemah Ima sudah ditayangkan di Netflix.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Walaupun Ainnatul Halimah Jaafar, 28, belum berkesempatan menjejakkan kaki ke Korea Selatan, namun dia mampu tersenyum bangga selepas bergelar penterjemah sari kata untuk tiga buah drama terbitan negara itu.

Graduan Pengajian Islam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, dia mula mempelajari bahasa Korea sejak tahun 2017 sebelum berjinak-jinak sebagai penterjemah sari kata K-Drama pada tahun lalu.

"Saya mula belajar bahasa Korea pada 2017 dan sempat belajar huruf sahaja pada waktu itu kerana saya sibuk dengan degree life saya selepas itu. Saya berkesempatan belajar asas bahasa Korea ketika semester terakhir.

ima2

Ima meraih perhatian ramai selepas dia berkongsi perjalanannya kerjayanya sebagai penterjemah.

"Selepas tamat pengajian tahun 2020, masa tu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya manfaatkan masa dengan menyertai kelas online bahasa Korea. Tahun lepas, saya job hunting di beberapa job search platform.

"Saya jumpa satu tawaran menjadi freelance Korean to Malay translator. Saya beranikan diri mencuba dan Alhamdulillah saya lulus ujian terjemahan yang diberikan dan bermulalah karier saya sebagai penterjemah," ujarnya.

Senang disapa Ima, dia berkata tiga drama terjemahannya yang berjudul Mr. Queen, Summer Strike dan Unlock My Boss sudah ditayangkan menerusi platform penstriman Netflix.

Tambah Ima, minat terhadap karya seni dari negara itu turut menjadi salah satu punca penglibatannya sebagai penterjemah K-Drama.

Mestilah gembira sebab selama ni saya selalu tak yakin dengan diri sendiri. Lepas saya tengok hasil kerja ditayangkan, saya lebih bersemangat untuk jadi penterjemah.

AINNATUL HALIMAH JAAFAR

"Jarang jumpa orang belajar bahasa Korea tapi tak minat K-Drama atau K-Pop. Jujurnya, betul saya minat kedua-duanya dan lebih meminati K-Drama. Ia salah satu faktor yang menyumbang minat juga.

"Malah saya terdetik untuk belajar bahasa Korea apabila pertama kali saya tengok sebuah K-drama. Masa tu rasa sari kata drama tersebut tak memuaskan hati saya sebagai penonton. Sejak itu saya nekad untuk belajar bahasa Korea dan tak sangka suatu hari saya juga menjadi penterjemah sari kata," ujarnya lagi.

Menurut Ima yang menetap di Gerik, Perak, dia teruja apabila menonton hasil kerjanya dan menganggap pencapaian itu sebagai pembakar semangat untuk pergi lebih jauh dalam bidang penterjemahan.

"Alhamdulillah. Mestilah gembira sebab selama ni saya selalu tak yakin dengan diri sendiri. Lepas saya tengok hasil kerja ditayangkan, saya lebih bersemangat untuk jadi penterjemah yang lebih baik dan profesional.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Dapat isteri BTS army, suami reda ‘merchandise’ K-pop penuh bilik tidur... Tapi mengadu foto kahwin hanya belakang TV!

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja reda koleksi K-pop dibakar, faham bapa orang alim tak suka hiburan... Harap netizen tenang, tetap hormat mak ayah

"Jadi saya daftarkan diri dan sekarang dan sedang mengikuti diploma penterjemahan profesional di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk tambah ilmu mengenai bidang penterjemahan," ujarnya lagi.

Daripada segi bayaran, Ima berkata ia bergantung kepada syarikat yang menerbitkan sesuatu karya dan kadarnya sentiasa berbeza-beza.

"Bayaran bergantung kepada syarikat. Ada yang bayar mengikut jumlah minit yang diterjemah. Ada juga syarikat yang bayar mengikut jumlah jam atau juga mengikut bilangan episod yang diterjemah," ujar Ima yang pernah menterjemah program Circle Chart Music Award yang ditayangkan di Astro.

Baru-baru ini Ima turut berkongsi kisah perjalanan kerjayanya menerusi TikTok sehingga dia meraih perhatian netizen.

ima4

Antara hasil kerja Ima sebelum ini.

Menurut Ima, dia terkejut dengan komen yang diterima dan sedia berkongsi ilmu pengetahuan bersama individu yang mahu menceburi bidang sama.

"Saya tak sangka video itu akan viral di Tiktok. Saya share perjalanan kerjaya di Tiktok sekadar kesedaran tentang bidang ini untuk rakan-rakan lain yang mungkin masih belum mendapat kerja atau belum berjumpa dengan passion mereka sendiri.

"Saya juga harap ia dapat membantu rakan-rakan lain yang berminat untuk jadi translator. Majoriti (netizen di TikTok) bertanya tentang cara saya belajar bahasa Korea dan requirement untuk jadi seorang translator," ujar Ima lagi.

Mengenai masa depannya, Ima berkata dia juga masih berharap untuk bekerja dalam bidang yang dipelajarinya, namun tidak akan sesekali mempersiakan peluang yang sedang diraihnya sebagai penterjemah ketika ini.

WhatsApp Image 2023-03-10 at 3.17.40 PM

Ima berkata dia memasang angan-angan untuk berkunjung ke Korea Selatan suatu hari nanti. (Gambar Hiasan)

"Saya belum ada rezeki untuk dapat kerja hakiki. Saya tak pernah terfikir untuk ceburi bidang terjemahan, sebelum ini saya cuma tahu saya minat belajar bahasa.

"Apabila ada rezeki untuk ceburi bidang terjemahan ini, saya baru tahu kebolehan diri saya di mana dan cuba untuk lakukan yang terbaik.

"Alhamdulillah. Saya dikelilingi oleh keluarga dan rakan-rakan yang sangat supportive. Mereka selalu ada dan bagi kata-kata semangat untuk saya teruskan minat ini.

"Saya tak pernah berdepan orang yang pandang rendah kerjaya ini. Istilah yang terbaiknya, orang lain itu bukan memandang rendah tetapi kurang pengetahuan tentang dunia terjemahan ini sebagaimana saya juga sebelum menceburi bidang ini dahulu," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain