suria

Nubhan enggan buka aib bekas isteri, hak Dr Afifah mahu bercerita di media sosial… “Dia tetap ibu kepada anak-anak saya”

Nubhan sama sekali tidak akan buka aib bekas isteri.

PENYANYI Nubhan tetap berpegang pada pendirian untuk tidak membuka aib bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek meskipun wanita itu sering berkongsi hal peribadi membabitkan mereka di media sosial.

Menurut Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahmad, 40, bekas isterinya itu tetap ibu kepada anak-anak mereka dan dia tidak pernah terlintas untuk mendedahkan sebarang keburukan mengenai Dr Afifah kepada umum.

“Saya tak boleh halang apa yang dia nak buat, tapi saya tetap cuba menjaga aib atau perkara buruk tentang bekas isteri. Itu yang sebaiknya.

Nubhan masih hormati Dr Afifah sebagai ibu kepada anak-anaknya.

“Dia tetap ibu kepada anak-anak saya. Kami pernah hidup bersama, jadi untuk apa saya nak buka aib isteri?” katanya kepada mStar.

Nubhan berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas konsert separuh akhir Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang berlangsung di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor, pada Ahad.

Walaupun berdepan pelbagai dugaan dan tekanan, kata Nubhan, dia lebih selesa sekiranya urusan peribadi antara dia dan bekas isterinya itu hanya diketahui oleh mereka berdua.

Tambah Nubhan, dia juga enggan tindakan mana-mana pihak memberi kesan buruk terhadap emosi dan kesihatan mental anak-anak mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan dilakukan secara membabi buta” – Nubhan jawab dakwaan campak barangan peribadi bekas isteri

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Afifah terkejut Nubhan tak hadir prosiding sulh… Mohon kerjasama bekas suami untuk persiapan sekolah anak, dakwa tiada tempat tinggal

“Walaupun tekanan datang daripada pelbagai sudut, bagi saya ini antara saya dengan dia, hanya kami berdua sahaja yang tahu.

“Lagipun nanti bila anak dah besar dan tengok perkara macam ini, ia tak bagus. Saya sangat menjaga kesihatan mental anak-anak,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, Nubhan berkata dia kini memilih untuk memberi fokus sepenuhnya kepada karier dan perniagaan selain memastikan kebajikan anak-anak terus dijaga.

Saya tak boleh halang apa yang dia nak buat, tapi saya tetap cuba menjaga aib atau perkara buruk tentang bekas isteri.

NUBHAN

PENYANYI

Dalam pada itu, penyanyi tersebut turut menafikan dakwaan kononnya dia mencipta akaun palsu di media sosial bagi menyerang Dr Afifah.

“Apa yang dia nak kongsi itu hak dia, cuma bagi saya cukuplah saya kongsikan perkembangan karier dan bisnes. Hal yang simple-simple sahaja.

“Saya juga memang tak ada masa nak buat akaun palsu untuk serang dia di media sosial. Nak hafal lagu Korea untuk persembahan malam Ahad pun saya dah pening.

Nubhan mahu fokus kerier menyanyi dan perniagaannya.

“Bagi saya, kita mengharapkan masa depan menjadi lebih baik,” ujarnya.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015, namun disahkan bercerai talak dua pada awal Disember lalu selepas melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.

Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aafan, 7, dan Afzan Nayille yang kini berusia 4 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain