suria

Syifa Melvin risau badan macam peti ais, kerap lapar menjelang bersalin… “Nasi segunung boleh habis”

Syifa mengakui selera makannya semakin bertambah.

PELAKON Syifa Melvin berkongsi pengalaman kerap berasa lapar menjelang kelahiran cahaya mata keduanya. 

Menurut Syifa atau nama penuhnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 32, dia terkejut apabila selera makannya bertambah dan mengalami gejala seperti menggigil serta berpeluh. 

“Saya macam terkejut dengan perubahan pada diri saya sekarang ni. Seminggu ini jadi lapar yang bukan-bukan!

Selera makan Syifa makin bertambah menjelang hari bersalin.

“Nasi segunung boleh habis lepas tu kerap sangat lapar, makan yang berat-berat pula tu.

“Sekarang dah masuk 36 minggu dan tiga hari, normal ke? Tapi saya lapar yang kena makan, kalau tak badan akan menggeletar dan berpeluh,” katanya.

Syifa berkongsi perkara tersebut menerusi satu hantaran di aplikasi Threads miliknya pada petang Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Parti ‘gender reveal’ meriah, Syifa Melvin umum bakal timang anak perempuan

ARTIKEL BERKAITAN: Tak boleh sorok dah, Syifa Melvin hamil anak kedua

Sementara itu, Syifa yang bakal melahirkan cahaya mata perempuan meluahkan rasa lega apabila tarikh pembedahan caesarean (czer) sudah ditetapkan.

“Mujurlah elective czer 26 Januari ni, lagi dua minggu lebih kurang.

“Kalau tak, saya tak tahu jadi saiz peti ais daging apa. Peti ais frozen yang kat bawah tu,” ujarnya berseloroh.

Syifa dan Safawi bakal timang cahaya mata perempuan selepas ini.

Untuk rekod, Syifa mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak kebangsaan, Safawi Rashid pada 28 November 2022.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Saif Sulaiman yang kini berusia tiga tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain