suria

“Bukan dilakukan secara membabi buta” – Nubhan jawab dakwaan campak barangan peribadi bekas isteri

Nubhan dengar nasihat daripada peguam sebelum keluarkan barang bekas isteri.

PENYANYI Nubhan tampil menjelaskan dakwaan bekas isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek yang mengatakan barangan peribadinya dicampak keluar dari kediaman milik bekas suaminya itu ketika berada di luar negara.

Menurut Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahmad, 40, tindakan mengeluarkan barangan peribadi bekas isteri dilakukan atas sebab tertentu dan tidak dibuat sesuka hati.

“Semua yang saya lakukan itu bersebab dan saya tak mahu ulas lanjut sebab perkara ini masih berada di peringkat mahkamah.

Nubhan enggan ulas panjang tentang isu dakwaan bekas isteri terhadapnya.

“Apa yang saya lakukan itu bukan secara terburu-buru atau membabi buta.

“Semuanya berlaku atas nasihat peguam. Selebihnya saya tak dapat nak komen dan saya minta maaf kerana perlu menghormati prosiding mahkamah,” katanya kepada mStar.

Nubhan berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas konsert separuh akhir Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang diadakan di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada malam Ahad.

Ditanya dakwaan bekas isterinya mengenai  terdapat beberapa barangan peribadi yang tidak dipulangkan, Nubhan menjelaskan, dia tidak pernah berniat untuk menyembunyikan atau menafikan hak sesiapa.

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan buat laporan polis sebaik selesai keluarkan barang Dr Fie - Polis

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Afifah terkejut Nubhan tak hadir prosiding sulh… Mohon kerjasama bekas suami untuk persiapan sekolah anak, dakwa tiada tempat tinggal

Malah sekiranya Dr Afifah ingin membuat laporan polis, Nubhan sedia memberikan kerjasama tanpa sebarang alasan.

“Sekiranya ada barang yang tak dipulangkan dan dia mahu buat laporan polis, saya tiada masalah. Saya tetap akan beri kerjasama,” jelasnya.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga Nubhan kembali menjadi perhatian apabila Dr Afifah mendakwa bekas suaminya itu mencampak keluar barangan peribadi dari kediaman milik Nubhan ketika dia sedang melancong ke luar negara.

Bagaimanapun, peguam syarie yang mewakili Nubhan iaitu Mohd Redzuan Ramli menafikan dakwaan kononnya barangan peribadi bekas isteri anak guamnya itu dicampak seperti yang diluahkan di media sosial.

Nubhan sedia beri kerjasama sekiranya bekas isteri buat laporan polis.

Terbaharu, Dr Afifah memaklumkan dirinya sudah berpindah ke sebuah rumah baharu yang lebih selesa bersama anak-anak.

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015, namun disahkan bercerai talak dua pada awal Disember lalu selepas melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aafan, 7, dan Afzan Nayille yang kini berusia 4 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain