suria

Nabila Razali serbu sekolah, ingatkan kanak-kanak berbuat baik sesama insan

Nabila sempat beramah mesra bersama pelajar.

PENYANYI Nabila Razali meluangkan masa menyantuni warga Sekolah Kebangsaan Taman Jasmine, Kajang, Selangor sempena hari pertama pembukaan sesi persekolahan pada pagi Isnin.

Kehadiran Nabila, 34, disambut meriah oleh para pelajar, guru serta kakitangan sekolah sekali gus menambah kemeriahan suasana pada hari pertama persekolahan.

Tidak sekadar berkunjung, Nabila turut menghiburkan pelajar dengan mempersembahkan lagu #BalasBaik yang sarat dengan mesej positif serta nilai empati sesama insan.

Nabila sempat beramah mesra dengan para pelajar.

Menurut Nabila, dia berharap lagu tersebut dapat menjadi inspirasi kepada para pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan menerapkan nilai murni, sikap saling menghormati dan semangat menyebarkan kebaikan dalam kehidupan seharian.

“Hari pertama sekolah adalah permulaan baharu yang sangat penting, terutamanya buat adik-adik yang sedang membina jati diri dan masa depan mereka.

“Saya berharap lagu #BalasBaik dapat menjadi peringatan bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan, walaupun kecil, mampu memberi kesan besar kepada orang lain,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Lif penuh dengan pasangan anak muda nak bermanja-manja” - Nabila Razali baru faham perasaan geng ibu bapa tolak stroller dalam mall

ARTIKEL BERKAITAN: 33 kotak bantuan untuk golongan memerlukan, Nabila Razali kongsi rezeki sempena ulang tahun

Tambah Nabila, sekolah merupakan tempat terbaik untuk menyemai nilai empati, toleransi dan kasih sayang sejak usia muda.

“Kalau kita dibiasakan untuk membalas sesuatu dengan kebaikan, saya percaya persekitaran sekolah dan masyarakat akan menjadi lebih harmoni. Itu juga mesej utama yang ingin saya sampaikan melalui lagu ini,” ujarnya.

Inisiatif tersebut secara tidak langsung mencerminkan komitmen Nabila dalam menggunakan platform seninya bukan sekadar untuk hiburan, sebaliknya sebagai medium penyampaian mesej positif kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Para pelajar berebut dapatkan tanda tangan Nabila.

Pada akhir kunjungan, Nabila turut meluangkan masa bergambar bersama pelajar dan guru sekali gus mencipta kenangan manis pada hari pertama persekolahan.

Kenangan dan mesej yang disampaikan itu diharap dapat menyuntik semangat para pelajar untuk memulakan tahun akademik baharu dengan penuh keyakinan serta nilai kebaikan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain