suria

Jurulatih hoki ambil kesempatan ketika ‘training’, rogol pelajar hingga hamil

Pelaku jenayah rogol khususnya melibatkan remaja bawah umur berdepan dengan hukuman berat. -Gambar hiasan

SEORANG jurulatih hoki ditahan polis selepas didakwa merogol gadis bawah umur sehingga mangsa hamil.

Mangsa, seorang pelajar Kelas 12 (18 tahun) dari sebuah kampung di daerah Rewari, Haryana, India, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Khol pada Jumaat.

Dalam laporannya, gadis tersebut mendakwa kejadian rogol itu berlaku kira-kira empat bulan lalu.

Menurut kenyataan mangsa, dia merupakan pemain hoki dan telah mengenali jurulatih berkenaan selama kira-kira tiga tahun. 

Mangsa mendakwa jurulatih tersebut telah merogolnya di bilik mandi stadium tempat dia menjalani latihan hoki.

Mangsa turut memaklumkan bahawa dia hamil akibat kejadian tersebut dan mengalami keguguran pada 5 Januari lalu. 

Keadaan kesihatannya dilaporkan merosot sehingga keluarganya terpaksa membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Polis memaklumkan kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO), selain peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.

Jurucakap polis Rewari berkata jurulatih hoki yang disyaki telah ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret sebelum direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya. -Agensi

 

Artikel Lain