suria

Wanita racun anak 10 bulan sebelum bunuh diri, tertekan perbalahan dengan suami

Kanak-kanak sering menjadi mangsa pergaduhan ibu dan bapanya. -Gambar hiasan

PERTELINGKAHAN rumah tangga yang berpanjangan dipercayai menjadi punca seorang wanita meracun bayi lelakinya.

Lebih menambah rasa pilu apabila dia turut membunuh diri dalam kejadian di Hyderabad, India.

Dalam insiden itu, mangsa yang baru berumur 27 tahun, didakwa memberi racun kepada anaknya yang baru berusia 10 bulan sebelum mengambil nyawanya sendiri di sebuah rumah milik ibunya.

Malah nenek kepada bayi tersebut turut didakwa cuba membunuh diri selepas tidak dapat menahan rasa terkejut apabila melihat anak dan cucunya terbaring tidak bernyawa.

Menurut polis, mangsa berkahwin dengan seorang akauntan bertauliah, Yashwanth Reddy, sejak empat tahun lalu.

Namun pasangan ini didakwa sering bertengkar sejak kebelakangan ini.

Pada hari kejadian, mangsa dilaporkan pergi ke rumah ibunya, Lalitha, 44, atas alasan membeli barangan bagi persiapan satu majlis keluarga.

"Ketika berada di rumah itu, dia masuk ke dalam sebuah bilik bersama bayinya sebelum memberi racun kepada anak tersebut dan kemudian membunuh diri," kata polis.

Kira-kira pukul 9.30 malam, Yashwanth yang pulang dari tempat kerja terkejut apabila mendapati pintu bilik berkunci dari dalam sebelum bertindak memecahkannya.

Dia menemui isteri dan anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kedua-duanya disahkan meninggal dunia.

Polis memaklumkan satu kes telah dibuka dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat manakala keterangan ahli keluarga serta saksi lain sedang dirakam bagi melengkapkan siasatan. -Agensi

Artikel Lain