SEORANG pensyarah dari sebuah kolej terkenal ditahan polis selepas dipercayai mengambil dadah jenis methamphetamine dalam sebuah rumah terbiar.Lebih mengejutkan apabila pihak berkuasa turut menemui dua pucuk senjata api bersama peluru miliknya. Serbuan pada Sabtu itu dibuat susulan aduan penduduk yang mengesyaki kehadiran seorang lelaki tidak dikenali sering keluar masuk sebuah rumah kosong di kawasan kejiranan mereka.Kejadian dilaporkan berlaku di Chanthaburi, Thailand.Ketua Balai Polis Bandar Khon Kaen, Kolonel Polis Yosawat Kaewsubthanynit berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya menemui seorang lelaki dikenali sebagai Wutthichai, 34.Ujarnya, hasil pemeriksaan menemui empat pil methamphetamine, sepucuk pistol 9mm bersama lapan butir peluru serta sepucuk pistol berkaliber .380 yang turut berisi sembilan butir peluru.Susulan itu katanya, suspek ditahan serta-merta manakala semua barangan berkenaan dirampas untuk dijadikan bahan bukti."Suspek mengaku semua dadah dan senjata api yang dirampas adalah miliknya. "Ujian saringan awal dadah juga mendapati suspek positif," katanya.Dalam pada itu, polis mengesahkan suspek merupakan seorang pensyarah di sebuah kolej di wilayah Chanthaburi dan dipercayai datang untuk melawat ahli keluarga sebelum berjumpa seorang rakan.Tambah Yosawat, empat kertas siasatan dibuka terhadap suspek iaitu memiliki dan menggunakan dadah, memiliki senjata api serta peluru tanpa lesen, selain membawa senjata api dan peluru di tempat awam tanpa sebab munasabah.Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes masih dalam siasatan. -Agensi