suria

Jaga ibu sakit, 'resign' demi urus adik sekolah sampai jadi bujang terlajak... Akhirnya abang raih pujian - "Buang masa aku berkorban"

Sesiapa sahaja akan berasa sedih jika pengorbanan tidak dihargai. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki meluahkan rasa kecewa apabila merasakan pengorbanannya terhadap keluarga tidak dihargai, meskipun sudah meminggirkan kepentingan peribadi.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, lelaki berusia 40 tahun itu menceritakan bagaimana dia sebelum ini menghabiskan usia dewasanya menjaga ibu yang uzur sehingga wanita itu meninggal dunia.

Menurutnya, dia juga mengambil keputusan berhenti kerja demi pulang ke kampung untuk menguruskan adik-adik selepas kematian bapanya, manakala abangnya lebih memberi tumpuan kepada keluarga sendiri.

Ramai berasa rendah diri apabila tidak memiliki harta benda pada usia tua. -Gambar hiasan AI

Bagaimanapun, selepas adik beradiknya berjaya dalam kehidupan dan mendirikan rumah tangga, segala pujian lebih banyak diberikan kepada abangnya yang kini mempunyai kerjaya yang baik dan memiliki kehidupan stabil.

"Masa mak sakit, setiap kali cuti semester aku jaga dia sampai meninggal dunia. Ayah aku meninggal, aku berhenti kejra untuk jaga adik-adik dekat kampung. 

"Abang aku tak ambil peduli sangat. Fokus dekat famili sendiri. Sekarang bila semua berjaya, kahwin... orang puji abang aku sebab bagus jaga adik beradik. Adik-adik aku pula lebih sayang dan hormat abang," luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Terpikat sebab ‘kaki’ masjid, pelajar tahfiz... Wanita menyesal nikah tanpa wang hantaran, suami langsung tak hargai pengorbanan

ARTIKEL BERKAITAN: Buat loan 60K bantu langsai hutang sahabat, tapi pengorbanan tak dihargai... Pemuda ini merana bayar bulanan bank

Berdepan situasi sebegitu membuatkan lelaki ini berasa rendah diri, apatah lagi mengenangkan nasib dirinya yang sebatang kara dan tidak berharta jika dibandingkan dengan abang serta adik beradik lain.

"Abang aku dan isteri dia pangkat bos-bos dekat ofis. Rumah, kereta semua bagus. Aku je tak ada pangkat. Aku dah usia 40 tapi apa pun tak ada. Aku tak kahwin lagi. Tak kaya. Hidup sendirian.

"Bila saudara mara puji-puji abang aku, aku diam je. Rasa macam halimunan dekat tepi. Betul la orang cakap... buang masa aku korbankan semua benda.

"Pada akhirnya, aku kena tinggal sorang-sorang. Saja nak bercerita. Aku perlukan semangat kawan-kawan. Rasa tak guna sangat," katanya lagi.

  • Lelaki berusia 40 tahun rasa terpinggir walaupun telah berkorban menjaga ibu bapa dan adik-beradik.
  • Dia menjaga ibu yang uzur sehingga meninggal dunia serta menguruskan adik-adik selepas kematian bapa.
  • Abangnya kini lebih dipuji dan dihormati walaupun dia yang banyak berkorban.
  • Dia kini hidup bersendirian, belum berkahwin dan tidak mempunyai kerjaya atau harta.
  • Netizen menyifatkan pengorbanannya mulia dan mendoakan agar dia terus kuat serta diberi ganjaran di sisi agama.

Luahan tersebut mengundang simpati warga maya yang menyifatkan pengorbanan lelaki itu bukan sesuatu yang sia-sia, malah di sisi agama ia adalah satu pengorbanan dan jasa yang besar.

"Tahniah untuk awak sanggup ambil risiko jaga mak sendiri. Mesti mak bangga ada juga anak yang boleh jaga dia hingga dijemput Ilahi. 

"Awak tak gagal selagi tak tinggal suruhan Allah. Jangan ikut gaya hidup orang. Orang lain hidup dengan cara sendiri yang penting bahagia.

"Semoga syurga buat awak. Jangan dikisahkan pujian atau kejian orang. Tak kenyang, tak kaya dek pujian. Kalau adik-adik awak tak kenang budi, biarkan. Ada masanya nanti balasan tiba," antara komen netizen.

Artikel Lain