suria

Remaja reda koleksi K-pop dibakar, faham bapa orang alim tak suka hiburan... Harap netizen tenang, tetap hormat mak ayah

Tasha berkongsi kenangan pahit mengenai koleksi barangan K-pop miliknya dibakar oleh bapanya.

RAMAI netizen yang 'panas hati' dengan tindakan seorang bapa membakar koleksi barangan K-pop milik anaknya sendiri baru-baru ini.

Pelbagai pandangan dan pendapat dilontarkan mengenai tindakan sang bapa, malah perbuatan si ibu merekod tangisan anaknya dan berkongsi di TikTok turut mengundang kecaman teruk.

Selepas beberapa hari, mStar berjaya menghubungi remaja itu sendiri bagi menyelami isi hatinya tentang insiden berkenaan.

Bercakap kepada mStar, remaja berkenaan yang baru berusia 14 tahun itu berkata, dia mula menyimpan koleksi barangan K-pop sejak tiga tahun lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Tasha, dia menjelaskan bahawa perkongsian video di laman sosial itu sekadar suka-suka dan luahan kenangan pahit buat dirinya bersama ibu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tinggal abu! Pelajar hiba koleksi barang K-Pop dibakar, sanggup cari serpihan terselamat - "Yang dia bakar tu jiwa anak"

"Ayah jenis yang boleh dikatakan alim orangnya. Jadi dia tak suka hiburan atau jenis macam ni (K-pop). Saya reda dengan apa yang jadi sebab tak nak sedih lama-lama.

"Selama ni pun saya minat (K-pop) gitu-gitu je, tak lebih-lebih sangat. Lepas kejadian bakar tu, saya jumpa ayah dan katanya 'Tak payah dah Korea-Korea ni'," katanya ketika dihubungi mStar.

remaja minat kpop 2

Tasha mengakui sedih tetapi reda dengan kejadian yang berlaku.

Walau bagaimanapun kata Tasha, buat masa ini dia masih mempunyai rasa minat terhadap K-Pop dan menganggap apa yang berlaku sebagai kenangan pahit yang pernah dilalui.

"Masa mula-mula dapat tahu memang sedih sebab beli mahal-mahal dan jurnal buat sendiri selain pemberian daripada kawan-kawan. Tapi lama-lama saya reda je," ujarnya.

remaja minat kpop 3

Koleksi barangan K-pop yang dibakar.

Menurut peminat kumpulan Stray Kids ini, sebahagian besar koleksi barangan K-Pop miliknya dibeli dengan hasil titik peluh menjual barang-barang seperti buku warna dan simpanan daripada wang belanja sekolah.

"Saya dan kakak berusia 16 tahun minat K-pop, tapi kami memang tak tunjuk minat tu kat ayah sebab tahu dia macam mana dan tetap respek dia.

Saya dan kakak minat K-pop, tapi kami memang tak tunjuk minat tu kat ayah sebab tahu dia macam mana.

TASHA

"Ayah tahu ada barang-barang ni sebab dia ternampak saya simpan kat satu tempat," katanya yang juga meminati pelakon Korea Selatan, Park Bo-gum.

Dalam pada itu, pelajar tingkatan dua itu berterima kasih kepada netizen yang memberi sokongan dan kata-kata positif kepadanya.

remaja minat kpop 4

Serpihan koleksi K-pop yang berjaya diselamatkan.

"Saya amat menghargainya. Tapi jangan salah faham tentang yang bakar itu siapa, saya bukan nak mengaibkan sesiapa.

"Ada yang sampai kata hantar terus mak ayah yang macam ni kat rumah orang-orang tua. Bagi saya ia agak keterlaluan.

"Tapi saya maafkan. Masing-masing ada pendapat mereka," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain