suria

Ibu nampak sesuatu dalam CCTV bilik tidur anak, momen pukul 1 pagi bikin sebak... Si bongsu sampai demam rindu nak ‘jumpa’ abah

Kiri rakaman CCTV menunjukkan anak kedua serta bongsu menatap foto arwah, kanan tiga anaknya di kubur arwah.

BUKAN bantal busuk menjadi peneman tidur, sebaliknya bingkai gambar yang disimpan dalam laci meja di tepi katil mampu melenakan anak-anak.

Baik si kecil yang sedang menghisap botol susu, mahupun si abang baring bersebelah, masing-masing bersilih ganti menatap dan memeluk foto arwah bapa mereka.

Momen menyentuh emosi itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di bilik tidur anak-anak, dan dikongsikan oleh seorang ibu tunggal di laman sosial.

Berkongsi cerita kepada mStar, ibu tunggal itu, Edda Norizhan Ahmad tidak menyangka melihat momen itu menerusi CCTV.

Malah, wanita berusia 35 tahun itu mengakui sebak apabila dua anaknya menatap foto wajah arwah suaminya yang meninggal dunia pada 6 Jun 2018.

"Suami saya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu. Ketika itu anak bongsu saya baru berusia 52 hari.

frame gambar arwah 4

Gambar-gambar pada bingkai yang memaparkan arwah bersama keluarga.

"Rakaman CCTV tu beberapa hari lalu sekitar pukul 1 pagi. Saya saja nak tengok anak-anak dah tidur ke belum.

"Saya terkejut bercampur sedih melihat anak kedua dan anak bongsu masing-masing berusia sembilan dan empat tahun memeluk frame gambar yang menggabungkan beberapa foto arwah abah mereka, sampai terlena," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sebak lihat keriangan anak kecil ini main pasir kubur ibu bapanya... enggan pulang - "Belum sempat apa-apa, Arfan terus panggil bu bu bu"

ARTIKEL BERKAITAN: Melepas rindu di pusara! Tak puas 2 kali 'jumpa' atok abah, cucu tak nak tinggalkan kubur selagi tak dapat ziarah kali ketiga

Edda yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata berkata, anak lelaki bongsunya yang mesra dipanggil Baby seakan faham dibesarkan sebagai anak yatim.

"Masa abah mereka pergi, Baby baru 52 hari. Dia hanya mengenal abahnya daripada saya, abang-abang dan kakaknya yang selalu bercerita tentang arwah.

"Sebelum rakaman CCTV tu, Baby demam dan dia beritahu rindu abah. Dia tanya saya bila nak balik ke rumah neneknya di Jerantut, Pahang sebab arwah dikebumikan di sana," ujarnya yang menetap di Senawang, Negeri Sembilan.

frame gambar arwah 2

Edda (dua kiri) bersama anak-anak, ketika ini anak bongsu berusia dua bulan.

Wanita itu bersyukur meskipun empat tahun berlalu, katanya, anak-anaknya sentiasa mengingati arwah bapa mereka.

"Apabila selesai solat, anak-anak beritahu kejap nak doa dulu untuk abah. Apabila saya memandu kereta, mereka pesan hati-hati, tak mahu kemalangan macam abah kena langgar.

"Kadang-kadang ada saja momen anak-anak bersama arwah dingati semula dan berkongsi dengan adik bongsu mereka," katanya.

Tambah Edda, momen anak-anaknya tidur sambil memeluk bingkai gambar arwah bapa mereka sudah dikesan beberapa kali sebelum ini.

frame gambar arwah 5

Kiri anak bongsu bersama kain pelikat arwah, kanan anak kedua menatap foto bersama arwah.

Walaupun masih kecil, Edda memberitahu bahawa anak bongsunya mengenali arwah sebagai seorang bapa yang penyayang dan sedaya-upaya untuk menggembirakan anak-anak.

"Anak bongsu selalu tanya, 'Mama, dulu masa kecil abah ada bawa Baby jalan-jalan?' Saya cuma kata abah sayang semua, bawa adik-beradik jalan-jalan, dukung Baby masa dia kecil.

Apabila saya memandu kereta, mereka pesan hati-hati, tak mahu kemalangan macam abah kena langgar.

EDDA

"Baby pernah juga tanya gambar dia bersama abah. Tak sempat sebab masa tu dia kecil lagi. Tapi Baby ni seorang yang ceria seperti abah dia, jadi dia selalu positif," tambahnya.

Edda yang berniaga baju secara dalam talian turut mengakui sifat penyayang arwah suaminya membuatkan anak-anak sentiasa mengingati arwah bapa mereka.

frame gambar arwah 3

Sebagai ibu tunggal, Edda membesarkan anak-anaknya.

"Dulu walaupun abah mereka sibuk dan penat, tetapi cari masa bersama anak-anak. Kalau tak ada duit, cuba usahakan untuk gembirakan anak-anak.

"Kami bersyukur dianugerahkan seorang suami dan bapa yang sangat baik," katanya.

Video rakaman CCTV yang dikongsi Edda di aplikasi TikTok meraih lebih 1.7 juta tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain