suria

Pendaki 'tembus' ke alam lain selepas sahut panggilan rakan - "Kau mungkin takkan kembali ke dunia sama"

Jangan sesekali menyahut jika nama anda dipanggil ketika di dalam hutan. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki berkongsi pengalaman menakutkan ketika mendaki sebuah gunung di Negeri Sembilan yang kekal menjadi misteri sehingga kini.

Menurut lelaki itu, semuanya bermula ketika dia berjalan menyusuri laluan semak yang sunyi sebelum tiba-tiba terdengar suara memanggil namanya dari belakang.

"Aizad… sini!" demikian suara yang didengarinya.

Aizad berkata, suara itu sama seperti suara rakannya yang mendaki bersama-sama dan tanpa berfikir panjang dia berpaling ke belakang.

"Wei mana kau?" balasnya tetapi tiada sesiapa pun kelihatan.

Dia mula berasa hairan apabila kawasan semak berduri di sekelilingnya tiba-tiba kelihatan seperti jalan yang luas, seakan-akan bukan dunia nyata. 

Laungan azan menyelamatkan lelaki dari tersesat di alam misteri. -Gambar hiasan AILaungan azan menyelamatkan lelaki dari tersesat di alam misteri. -Gambar hiasan AI

Setiap langkah membawanya semakin jauh ke dalam hutan alam lain dan dia cuba memanggil rakannya, tetapi tiada jawapan.

Sementara itu, rakan Aizad pula tidak dapat melihatnya, walaupun hanya berada beberapa langkah dari tempat dia berdiri.

"Saya mula panik dengan setiap jalan yang dilalui akhirnya kembali ke tempat yang sama," kata Aizad lagi.

Dalam ketakutan, dia teringat pesanan orang lama bahawa jangan menjawab panggilan jika tidak nampak tuan badan. Diam adalah langkah paling selamat!

"Waktu tu saya teringat sesuatu yang dapat memberi ketenangan iaitu azan. Saya angkat tangan dan laungkan azan dengan penuh harapan," katanya. 

Suara azan itu seperti menembusi keheningan hutan dan dia mula melangkah mengikuti bunyi aliran deruan sungai, kicauan burung dan angin yang menyegarkan.

"Keajaiban berlaku, saya mula nampak laluan yang familiar, semak kembali kelihatan seperti biasa.

"Perasaan lebih lega apabila melihat rakan sebenar sedang bersandar di sebatang pokok," katanya.

Lelaki itu menasihatkan semua pendaki jika terdengar suara memanggil nama tetapi tidak melihat tuan badan, agar jangan sesekali menyahut. 

"Jangan lupa, iman dan doa boleh menjadi pelindung dalam situasi genting. Yang memanggil itu bukan manusia… kalau kau menjawab, kau mungkin takkan kembali ke dunia yang sama. 

"Saya bernasib baik kerana azan dan doa memberi saya kekuatan untuk kembali ke laluan asal," katanya.

Artikel Lain