suria

Rasa macam ada orang sandar, nafas jadi sempit... Wanita menyesal tak ikut nasihat ibu jangan sidai baju waktu malam

Seeloknya pakaian yang disidai pada waktu malam tidak dibiarkan terdedah sepenuhnya. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita tidak menyangka rutin menyidai pakaian pada waktu malam menjadi punca insiden aneh yang dialaminya sehingga ke hari ini.

Menurut wanita berusia awal 30-an itu, kejadian bermula apabila dia membasuh pakaian lewat malam dan membiarkannya tergantung di ampaian luar rumah sehingga ke pagi.

“Saya selalu buat macam tu. Tak pernah fikir apa-apa. Malam tu pun sama, basuh lepas Isyak, sidai dan terus masuk tidur.

"Namun keesokan paginya, mula rasa sesuatu yang tidak kena sebaik sahaja memakai baju berkenaan.

“Mula-mula badan rasa gatal. Saya fikir biasa, mungkin sebab sabun. Tapi makin lama, rasa gatal tu lain macam merenyam,” katanya.

Ada sebab tertentu mengapa orang tua-tua melarang pakaian disidai pada waktu malam. -Gambar hiasan AIAda sebab tertentu mengapa orang tua-tua melarang pakaian disidai pada waktu malam. -Gambar hiasan AI

Lebih mengejutkan, apabila bangun keesokan hari, dia mendapati lebam-lebam kebiruan muncul di lengan dan belakang badannya tanpa sebarang kecederaan.

“Tak sakit, tapi apabila tengok cermin, saya jadi takut. Lebam tu bentuk dia pelik,” katanya.

Menurutnya, gangguan tidak terhenti di situ sebaliknya setiap kali mengenakan pakaian yang disidai pada waktu malam, dia akan berasa berat di bahagian bahu dan dada.

"Seolah-olah ada sesuatu yang menekan-nekan dari belakang.

“Rasa macam ada orang sandar. Nafas jadi sempit. Masa tu baru saya teringat pesan mak jangan sidai baju waktu malam,” katanya.

Dalam keadaan tertekan, wanita itu akhirnya meminta nasihat daripada orang tua di kampung. 

Menurut individu berkenaan, pakaian yang disidai selepas Maghrib dipercayai menjadi tempat persinggahan makhluk halus seperti pontianak dan penanggal.

“Orang tua kata, mungkin ada benda yang menumpang. Dia suruh saya basuh semula baju tu dan jangan pakai dulu,” katanya.

Selepas pakaian tersebut dibasuh semula dan bacaan doa dilakukan, wanita berkenaan mendakwa gangguan itu beransur hilang.

Bagaimanapun, pengalaman tersebut menjadi pengajaran besar buatnya.

“Sampai sekarang, kalau basuh baju waktu malam, saya akan angkat sebelum tidur. Saya tak berani lagi ambil mudah,” katanya.

Walaupun dari sudut logik kejadian itu boleh dikaitkan dengan embun atau serangga halus yang aktif pada waktu malam, pengalaman yang dialami wanita itu cukup untuk mengubah kepercayaannya.

“Percaya atau tidak, saya sendiri yang rasa. Kadang-kadang, yang kita bawa masuk ke rumah bukan sekadar baju,” katanya.

Artikel Lain