HALIM (bukan nama sebenar) kehilangan bapa yang berkhidmat sebagai penghulu kampung dalam keadaan misteri selepas membantu menguruskan pembahagian harta mengikut faraid.
Kisah bermula apabila seorang ibu tunggal datang mengadu mengenai anak lelaki sulungnya yang tidak bersetuju dengan pembahagian harta keluarga.
Bapa Halim yang terkenal dengan kepakaran menyelesaikan masalah penduduk berusaha membantu keluarga itu dengan membawa mereka ke pejabat tanah.
Namun, anak sulung wanita itu berang dan menyalahkan penghulu, mendakwa urusan belum selesai dan seterusnya menyimpan dendam kerana tidak bersetuju dengan cara pembahagian harta tersebut.
Seminggu selepas menyelesaikan konflik keluarga itu, bapa Halim tiba-tiba jatuh sakit sehingga hilang selera makan dan mula meracau menceritakan tentang lembaga yang mengganggunya pada waktu malam.
Keadaan menjadi lebih mengerikan apabila bapanya muntah darah berserta objek seperti jarum dan kaca selain diganggu ketika solat seolah-olah merasakan ada entiti ghaib yang memarahinya.
Bapa Halim kemudian dibawa kepada seorang ustaz yang kemudian memaklumkan bahawa dia telah disantau.

Amalan sihir adalah berdosa besar serta dilarang keras dalam Islam. -Gambar hiasan
Namun dalangnya tidak didedahkan ustaz berkenaan.
Halim mula mengesyaki anak sulung ibu tunggal itu sebagai individu bertanggungjawab di sebalik gangguan tersebut.
Dia membuat tekaan itu memandangkan lelaki terbabit pernah memarahi bapanya selepas membantu urusan pembahagian harta.
Walaupun ustaz cuba memberikan rawatan, takdir menentukan bapa Halim meninggal dunia selepas sebulan menderita sakit dan terkena gangguan.
Seminggu selepas kematian bapa Halim, anak sulung kepada ibu tunggal itu datang ke rumah arwah untuk mengaku kesalahannya.
Difahamkan, lelaki itu datang meminta maaf kerana dirinya sendiri turut diganggu gara-gara mengamalkan ilmu hitam.
Sebagai peringatan bersama, menggunakan ilmu hitam adalah perbuatan syirik, berdosa dan dilarang dalam Islam dan kita perlu menjauhinya.


