RUTIN harian makan di sebuah kafe berdekatan tempat kerja bertukar menjadi pengalaman pahit yang sukar dilupakan wanita ini.
Setiap kali tukang masak lelaki yang sama menyediakan makanan, hidangan tersebut pasti dihabiskan tanpa sebarang sisa ditinggalkan.
Lama kelamaan, hubungan wanita itu dengan lelaki berkenaan menjadi sangat rapat.
Disebabkan terlalu akrab dia dengan rela hati memberi lelaki itu pinjam wang, termasuklah sanggup memindahkan duit ketika diminta pada lewat malam.
"Saya tunaikan permintaan lelaki tu tanpa banyak soal. Esok pagi, nak masuk kerja saya beli lagi sarapan pagi dekat dia macam biasa.
"Memang teruja nak pergi kerja sebab boleh jumpa dia. Gila bayang ya. Sampaikan bila dia bercuti, saya akan rasa macam huru hara hidup ni.
"Tapi Allah nak tunjuk. Saya jadi cemburu bila dia melayan perempuan lain. Lillahi, kalau saya waras begini (seperti sekarang), saya pun tak nak dekat dia," katanya.

Pelanggan perlu lebih berhati-hati dengan makanan yang dihidangkan di mana-mana kedai makan. -Gambar hiasan AI
Menurut wanita ini, ciri-ciri yang ada pada lelaki itu langsung tidak menepati kehendaknya dengan dia digambarkan sebagai seorang yang tidak berpegang kepada agama.
Dia pernah ternampak lelaki berkenaan menghisap rokok pada bulan puasa dan enggan menunaikan solat kerana merasakan diri masih muda.
Suatu petang selepas Asar, tubuhnya tiba-tiba menjadi sejuk dan berpeluh membuatkan dia pulang ke rumah dan terus terbaring di ruang tamu.
Apa yang berlaku selepas itu langsung tidak diingatinya tetapi menurut arwah bapanya, dia meracau sepanjang malam tanpa sedar.
Keesokan paginya, dia terkejut apabila mendapati dirinya, ibu bapa dan adik-beradik tidur di ruang tamu dalam keadaan masih berbaju kerja.
"Saya tak sedar apa-apa yang jadi malam tu. Esok pagi saya bangun dan rasa hairan tengok kenapa adik, mak ayah semua tidur dekat ruang tamu. Saya masih berbaju kerja.
"Saya bangun solat subuh dan nak pergi kerja tapi mak tak bagi. Tapi arwah ayah suruh pergi je kerja tapi dia pesan kalau tak larat nanti baliklah.
- Wanita jadi rapat dengan pekerja kafe hingga sanggup beri wang dan alami gila bayang.
- Lelaki berkenaan langsung tidak menepati ciri lelaki idaman malah jauh dari pegangan agama.
- Wanita itu mengalami gangguan, meracau dan hilang ingatan hampir setiap malam.
- Rawatan mendedahkan lelaki tersebut menggunakan bomoh Siam untuk kepentingan kewangan.
- Kes ini jadi peringatan bahawa amalan sihir adalah syirik dan wajib dijauhi.
"Sampai dekat ofis, bos hairan sebab saya cakap tak sihat semalam dan tak boleh kerja. Bos siap tunjuk mesej yang dihantar dekat WhatsApp," jelasnya.
Gangguan tidak terhenti di situ apabila hampir setiap malam selepas Maghrib, dia akan meracau.
Ketika mendapatkan rawatan kali kedua, wanita itu meronta dan menyebut nama lelaki berkenaan tanpa sedar.
Paling mengejutkan apabila ustaz yang merawatnya menyebut ciri-ciri lelaki tersebut dengan tepat dan mendakwa individu itu menggunakan bomoh Siam.
Tujuan lelaki tersebut menggunakan ilmu hitam dikatakan untuk mengawal dan mendapat manfaatkan kewangan daripada wanita itu.

Menggunakan ilmu hitam untuk membinasakan orang lain hukumnya berdosa besar. -Gambar hiasan
Rawatan terakhir dilakukan di kampung, dibantu seorang kenalan arwah datuknya yang ketika itu sudah tua serta dalam keadaan uzur.
"Kata arwah ayah, saya sampai berlawan pukul, tumbuk dan tendang datuk yang berubat saya. Sampai semua anak cucu dia datang. Mereka takut apa-apa jadi dekat dia.
"Kalau ikut cerita arwah ayah, datuk tu cakap saya dah nak lari rumah ikut lelaki tu. Kalau tak lari, saya akan mati. Allah... jahatnya manusia. Tapi saya bersyukur dengan izin Allah saya sihat," katanya.
Selepas pulih, wanita ini dimaklumkan bahawa bahawa bomoh Siam itu memiliki gambarnya dan digunakan dalam ritual pemujaan bagi mengikat dan mengawal dirinya.
Dalam Islam, amalan menggunakan bomoh, sihir atau pemujaan dikategorikan sebagai perbuatan syirik yang berdosa besar.
Justeru umat Islam diwajibkan menjauhinya kerana ia boleh merosakkan akidah dan mengundang mudarat kepada diri sendiri serta orang lain.


