suria

Jin belaan si mati tercegat depan pintu... Pengurus jenazah baca sesuatu, mohon doa Allah pisahkan hubungan makhluk ghaib

Sudah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan jenazah untuk menjaga aib si mati. -Gambar hiasan AI (kanan)

BERKHIDMAT sebagai seorang pengurus jenazah pastinya menyimpan banyak cerita aneh lagi misteri yang tidak diketahui umum.

Seperti yang dikongsikan individu dikenali sebagai Ustaz Adul, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan hal berkaitan jenazah yang ketika hayatnya 'membela' jin atau pendamping.

"Sejak kecil saya diajar zikir Laa ilaaha illallah setiap hari. Apabila ditanya untuk apa? Jawabnya amal je, nanti-nanti tahulah," ujarnya memulakan cerita.

Sehinggalah pada suatu hari, dia mengikut bapanya menziarah ke sebuah rumah yang kematian ahli keluarga.

Setibanya di depan rumah berkenaan, dia diminta membaca ayat al-Quran sambil memejamkan mata sebelum disuruh membuka mata perlahan-lahan.

Ketika itu, dia ternampak arwah seolah-olah sedang berdiri di hadapan pintu dalam keadaan pucat.

Ustaz Adul menceritakan pengalaman melihat pendamping arwah ketika menguruskan jenazah.

"Masa tu saya takut tapi arwah bapa pegang. Jangan takut katanya. Itu tanda arwah ada 'kawan' (pendamping). Bapa saya suruh pejam mata dan apabila buka mata, entiti tu dah tak ada.

"Bapa pesan, nanti apabila zikir dah sebati... boleh nampak terus. Nak mandi dan kafan esok pagi, jadi kita kena bersihkan arwah bagi bau wangi. Apabila selesai, kita kena cakap dengan arwah.

"Tapi sebenarnya kita cakap dekat 'kawan' dia tu. Pesan bahawa Allah dah ambil tuan kau. Kau pergilah tempat lain, jangan kacau kami nak uruskan tuan kau esok," imbasnya lagi.

Seperti yang selalu dipesanan, Adul akan membaca surah al-Fatihah sambil berdoa semoga Allah memisahkan mereka setiap kali menziarah. 

Katanya jika terlihat bayangan bangun dan beredar, itu tanda mereka telah berpisah namun proses lain perlu dilakukan jika berlaku perkara sebaliknya.

"Lepas tu uruskan hingga selesai sampai talkin dan doa. 'Kawan' ni tak akan ganggu," pesan bapa Adul lagi.

Tangkap layar dikongsikan ustaz Adul dalam hantaran di media sosial.

Ketika deria keenam Adul terbuka, apa yang selama ini tersembunyi menjadi jelas di pandangan mata biarpun tidak disedari oleh orang lain di sekeliling.

"Sekarang ada masa boleh nampak (pendamping) kepada orang hidup. Tuan dia berjalan, 'kawannya' pun berjalan tapi tunduk kebawah.

"Apabila tuan dia senyum kat kita, kawannya pun senyum dan pandang kita. Kembar yang menyeramkan dan menakutkan," kongsinya mengenai pengalaman dalam urus jenazah 'berkawan'.

Pesan arwah bapanya pula, seseorang itu perlu menjaga solat fardu lima waktu secara berjemaah untuk memudahkan urusan jenazah yang kadangkala penuh cabaran.

Katanya walaupun ada sesetengah jenazah diuruskan memiliki 'kawan' semasa hidup, maruah dan aib Allahyarham wajib dijaga.

Artikel Lain